Projek Tebatan Banjir: Dakwaan Rafizi Melampau, Tuan Ibrahim Sedia Disasat

KOTA BHARU: Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan dakwaan Rafizi Ramli berhubung projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion sebagai tindakan yang melampau.

Tuan Ibrahim berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan kerana jelas dakwaan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli adalah fitnah pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah katanya, beliau bersedia pada bila-bila masa sekiranya akan disiasat dan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika SPRM panggil saya untuk ambil keterangan pada waktu pagi, pagi itu juga saya sampai dan tidak akan tangguh-tangguh.

“Saya tidak ada masalah sebaliknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kerana tiada apa yang perlu disorok atau disembunyikan.

“Saya fikir ini tindakan melampau dan yang tidak ada modal selain ini adalah musim fitnah PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pengurniaan Kehormatan Kelantan Sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-53 di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, projek yang didedahkan oleh Rafizi itu adalah perancangan kerajaan yang baru diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Bagaimanapun, surat setuju terima (SST) belum dikeluarkan dan tiada mana-mana syarikat yang boleh mendakwa projek itu dia punya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Rafizi mendakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

Rafizi berkata, beliau dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang PRU-15.

BBerkaitan

Latest articles