Undi Awal Dibayar 300 – Dakwaan Anwar, Satu Fitnah Jahat – Ismail Sabri

BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa terdapat anggota tentera sudah mengundi untuk PRU15 dan dibayar RM300 adalah fitnah.

Ismail Sabri berkata, dakwaan itu sekaligus telah merendahkan martabat anggota keselamatan.

Tambah beliau, Anwar sengaja menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap Barisan Nasional (BN), khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Ini tuduhan jahat dan jangan menghina anggota tentera. Malah, dia perlu tarik balik tuduhan kerana menghina anggota tentera seluruh negara.

“Tiada keistimewaan yang diberikan untuk anggota tentera mengundi sehingga diberikan imbuhan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Ngeteh Santai Orang Kita di Kampung Orang Asli Kampung Bongkok di sini, hari ini.

Pada masa sama, tegas Ismail Sabri, Anwar perlu memohon maaf kepada anggota tentera selain meminta Anwar sedar bahawa tuduhan itu bersifat jahat.

Sebelum ini, Presiden PKR itu mendakwa ada anggota tentera, khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk PRU kali ini mendapat bayaran.

Ketika berucap di majlis di Terengganu, Anwar mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian, selain menegaskan mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu.

Anwar yang juga calon Parlimen Tambun mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat perkara ini.

BBerkaitan

Latest articles