ALOR SETAR: Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir, hari ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya berkaitan isu “undi BN dan PH masuk neraka”.
Pemimpin Pas itu berkata, beliau menyedari kekhilafannya dan meminta orang ramai untuk menghentikan segala bentuk penyebaran video ketika sesi ceramahnya semalam bagi menjamin keharmonian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya dengan ini memohon maaf dan menarik balik diatas kekhilafan kenyataan saya dalam satu siri penerangan mengatakan “undi BN dan PH masuk neraka”.
“Ini agar PRU kali ini medan yang bebas daripada isu perkauman dan agama yang melampau.
“Berkenaan syurga dan neraka ini bukanlah dipertentukan hanya kepada penyokong Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, tapi dia melibatkan secara umumnya melakukan kebaikan atau pun kejahatan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, apa sahaja tindakan yang cenderung kepada kemungkaran yang dilakukan oleh sesiapa pun, ianya tetap salah dan wajib dicegah.
Terdahulu tular video berdurasi 15 saat dipercayai sesi ceramah sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dianjurkan Pemuda Pas di Sik.
Memetik video itu, Mohd Shahiful ketika menyampaikan ceramah menyeru kepada pengundi- pengundi Sik agar pulang mengundi Perikatan Nasional (PN).
“Sesiapa yang mengundi BN atau PH akan masuk api neraka,” katanya.