KUALA LUMPUR: Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyatakan sokongannya kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri bagi mewakili Sabah jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Menurut Musa, calon BN di Kota Belud itu mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran kerajaan pusat dan memiliki ciri kepimpinan yang baik.
Bukan itu sahaja Abdul Rahman juga disifatkan Musa sebagai seorang yang rajin dan mempunyai perancangan yang strategik.
“Pengundi Kota Belud mesti bersatu menyokong Rahman kerana beliau adalah pemimpin yang berkelayakan untuk jawatan itu bawah BN-Gabungan Rakyat Sabah,” kata Musa dalam ceramah di Usukan malam tadi.
Untuk rekod, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berjanji akan melantik tiga timbalan perdana menteri jika gabungan itu menang PRU15, dimana setiap darinya akan mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Abdul Rahman sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal, sebelum memberi laluan kepada Datuk Seri Salleh Said Keruak bertanding di kerusi itu pada PRU14.
Namun Salleh Said tewas kepada calon Warisan iaitu Isnaraissah Munirah Majilis.
Abdul Rahman kemudiannya bertukar kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU14 namun strategi itu gagal apabila beliau tewas kepada Datuk Seri Azis Jamman daripada Warisan.