KUALA LUMPUR: Pengundi muda memainkan peranan penting dan penyumbang kepada sesuatu keputusan, dan kini mereka menjadi penentu kepada masa depan negara.
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menasihatkan kesemua calon dan jentera gabungan itu untuk mendekati golongan berkenaan selain memberi penerangan sebaiknya mengenai pilihan raya dan calon yang bertanding.
“Mereka boleh didekati menerusi penganjuran aktiviti belia, pertukaran maklumat dan pandangan mengenai isu semasa, penganjuran program sukan, aktiviti pelancongan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu Shamsul Anuar tidak menggangap tugasnya mempertahankan Parlimen Lenggong sesuatu yang mudah biarpun dilabel sebagai kubu kuat BN.
Beliau sebaliknya akan terus bekerja keras dengan menemui pengundi seramai mungkin dalam tempoh berkempen sebelum hari pengundian nanti.
“Rakyat perlu mengundi BN pada PRU15 ini supaya negara terus maju dibawah sebuah kerajaan yang stabil dan membawa kemakmuran dan bukannya di bawah pemerintahan sebuah kerajaan yang gagal dan merugikan negara seperti dirasai sewaktu era pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan,” katanya.