GEORGE TOWN: Nooryana Najwa, anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan kekecewaan bapanya yang tidak dapat turun padang berkempen sempena PRU15.
Malah kemenangan Barisan Nasional (BN) pada 19 November ini diharap dapat memberikan kegembiraan buat Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara.
“Beliau (Najib) tanya saya mereka (rakyat) sudah lupakannya? Beliau kecewa tidak dapat beramah mesra bersama akar umbi.
“Ayah memang tertekan dengan perkara sebegini tambahan pula 46 tahun melibatkan diri dalam pilihan raya, namun beliau seorang yang penyabar.
“Saya harap 19 November ini kita berikan hadiah dan berita baik kepada bossku di Kajang,” katanya.ketika berucap pada ceramah perdana BN di Sungai Acheh, malam tadi.
Tambah Nooryana, meskipun tembok penjara memisahkan ayahnya dengan keluarga namun bekas ahli Parlimen Pekan itu tetap memikirkan perihal rakyat.
Dalam pada itu Nooryana menggesa pengundi memilih kerajaan BN bagi memastikan kestabilan politik dalam negara.
Katanya, kestabilan politik itu penting sususlan seluruh dunia berdepan cabaran bencana ekonomi tahun depan.
“Kalau kerajaan tak stabil rakyat yang akan susah ini kerana tahun depan mungkin kita akan ada bencana ekonomi ditambah pula dengan inflasi tinggi, nilai matawang ringgit makin lemah.
“Negara lain sudah bersedia berdepan gelombang itu, selain beri amaran kepada rakyat mereka namun, Malaysia masih belum mula lagi disebabkan perlu menstabilkan politik negara terlebih dahulu.
“Kalau nak selamat, kita kena ada kestabilan politik. Kita tak nak menang nipis, kita nak menang besar, ada mandat besar untuk anak muda dan keluarga,” katanya.
Hadir sama, calon BN Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri RS Thanenthiran dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Shaik Hussein Mydin.