Jangan Cucuk-Cucuk Antara Saya Dan Ismail Sabri

SUNGAI UDANG: Mana-mana pihak diingatkan tidak menjadi sekam dalam api apabila melaga-lagakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam isu calon Perdana Menteri.

Tegas Ahmad Zahid, Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri jika BN menawan Putrajaya pada 19 November ini.

Malah UMNO dan BN akan terus komited meneruskan keputusan yang sudah dicapai itu.

“Kita akan terus komited menentukan bahawa Perdana Menteri kita adalah Perdana Menteri yang sedang menjalankan tugas dengan baik di Putrajaya sekarang ini.

“Jangan timbul spekulasi, jangan timbul ramalan, jangan cucuk mencucuk di kalangan kami, we have no problem at all,” katanya dalam ucapan sebelum merasmikan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak, Sungai Udang, hari ini.

Terdahulu, calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim meluahkan rasa curiga terhadap masa depan Ismail Sabri yang merupakan ‘poster boy’ BN.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga calon Parlimen Bagan Datuk berkata, BN kini telah hampir sampai ke garisan kemenangan untuk membentuk kerajaan di Putrajaya selepas PRU15.

“Rugilah jika mereka tidak pernah menyesal memilih Pakatan Harapan (PH), rugilah jika kali ini ada yang memilih Perikatan Nasional (PN) kerana kita ada track record selama 60 tahun memerintah.

“Saya rasa amat menghargai apabila kita teruji dengan ketidakcukupan kerusi dalam PRU14 yang lalu, maka rakyat telah menderita, rakyat telah sengsara apatah lagi apabila negara ini ditadbir oleh kerajaan gagal selama 17 bulan.

“Jika ada yang berniat untuk menjadi Perdana Menteri (PM) kali kedua seperti bos dia yang jadi PM kali kedua selepas 22 tahun, selepas itu 22 bulan, maka parti itu hanya bermimpi di siang hari,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles