KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari menyanggah dakwaan bekas timbalan presidennya kononnya parti itu diterajui oleh kepimpinan diktator.
Ujar Amirudin, ahli-ahli PKR dibenarkan mengundi dan jawatan presiden dan naib presiden dipertandingkan.
“Jadi saya tak tahu apa dia (Azmin) cakap. Dakwaan itu mungkin daripada orang yang tidak memahami sistem secara keseluruhan,” katanya di sini hari ini.
Lagipun, beliau percaya, sistem pemilihan PKR sudah tersusun kemas dan pemilihan kepimpinan tertinggi dibuat berdasarkan undian seluruh ahli.
”Saya rasa tiada lagi mana-mana parti di Malaysia yang membenarkan sistem sedemikian (ditaktor),” katanya.
Komen Amirudin itu ditujukan kepada ceramah kempen Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam, bahawa Pakatan Harapan (PH) diterajui oleh seorang diktator yang mana ahli kepimpinan parti itu tidak boleh menyuarakan pendapat atau mengkritik parti mereka.
Azmin berkata demikian bagi mengulas pengguguran beberapa pemimpin PKR yang didakwa tidak sehaluan dengannya daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).