KUALA SELANGOR: Masalah kesesakan dan naik taraf kemudahan asas menjadi antara 50 perkara tumpuan calon Barisan Nasional (BN) Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz jika menang pada PRU15 ini.
“Kalau saya dipilih sebagai wakil rakyat untuk kerusi P096 Kuala Selangor, fokus saya adalah untuk kebajikan rakyat.
“Saya telah menyenaraikan 50 isu yang akan dibuat secepat mungkin berdasarkan sesi turun padang ke lapangan bersama penduduk Kuala Selangor.
“Isu kesesakan ini memang (wujud) dan ia menunjukkan Kuala Selangor ini pembangunan khususnya pelancongan ada potensi kerana ramai yang datang ke sini untuk tujuan pelancongan,” katanya memetik wawancara bersama Malaysia Gazette, hari ini.
Malah Menteri Kewangan itu yakin penerimaan pengundi di Kuala Selangor terhadap dirinya.
Tengku Zafrul memaklumkan gerak kerjanya bukan sahaja ketika musim pilihan raya bahkan sejak enam bulan lepas dan masih mendapat sambutan baik daripada masyarakat luar bandar.
Tengku Zafrul mengakui setakat enam hari berkempen kehadirannya tidak pernah dihalang mahupun mendapat bantahan daripada mana-mana pihak.
“Setakat ini, sambutannya agak bagus, tidak ada yang marah-marah, penduduk Kuala Selangor semuanya begitu ramah, mesra dan baik-baik orangnya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kuala Selangor yang setakat ini boleh menerima bila saya berjumpa mereka dalam program-program yang dijemput setakat ini,” katanya.
Beliau mengambil maklum rungutan penduduk setempat, terutama kesesakan lalu lintas, lebih-lebih lagi pada hujung minggu.
“Saya pergi ke Pantai Remis baru-baru ini pun penuh, Sabtu malam Ahad di Dataran Melawati pun penuh dan di sini juga ramai orang yang berhenti untuk pergi ke Perak.
“Salah satu fokus untuk jangka masa sederhana dan panjang ialah menaiktaraf infrastruktur sedia ada di sini, terutamanya internet, banyak kawasan yang tiada internet di Kuala Selangor, malah ada kes tiada signal (isyarat) telefon,” katanya.
Katanya lagi, isu harian antara manifesto utama yang perlu diperjuangkan tanpa perlu menawarkan sesuatu perkara yang tidak realistik.
“Ada banyak isu berbangkit di Kuala Selangor, kebanyakan adalah isu harian, isu jalan yang berlubang, isu lampu trafik yang tidak berfungsi, semua isu itu boleh diperbaiki.
“Bagi Puncak Alam pula, masyarakat di sana memerlukan Klinik Kesihatan memandangkan ramai penduduk di situ.
“Golongan muda pula bangkitkan isu kemudahan awam, padang yang mungkin ditambah baik jadi padang bola dan sebagainya. Isu harian yang saya percaya boleh diselesaikan,” katanya lagi.