AYER HITAM: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mengulangi pendirian partinya akan menyokong sepenuhnya Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon BN Parlimen Ayer Hitam itu berkata, kesetiaan parti komponen BN tidak berbelah bahagi untuk menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
“Saya lihat dua, tiga hari ini, orang datang sini buat bermacam cerita, kononnya kita akan tukar calon, tidak ada, kesetiaan kita tidak berbelah bahagi, hanya kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri seperti dipersetujui oleh semua parti komponen BN.
“Saya nak beritahu pembangkang, jangan jaga tepi kain orang, Kalau mereka ini nak buat cerita bukan-bukan, Perdana Menteri ada di sini, inilah Perdana Menteri ke-9 dan calon Perdana Menteri ke-10,” katanya ketika berucap Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Parlimen Ayer Hitam di Taman Suria di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ka Siong menegaskan, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran turut melafazkan pendirian serupa.
“Selaku Presiden MCA saya nak mengulangi apa yang kita lafazkan kepada Perdana Menteri kerana saya masih ingat pada 14 April 2022 selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan iaitu mencadangkan nama Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri ke-10 jika kita menang PRU15.
“Selaku Presiden MCA, saya sudah mendapat mandat daripada parti saya, 100 peratus menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Bukan sahaja saya, rakan seperjuangan saya, Presiden MIC pada hari yang sama melafazkan perkara serupa, tidak lain tidak bukan iaitu mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika kita menang PRU15,”katanya.
Sokongan sama turut disuarakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang memberi jaminan menyokong kepemimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
“Sebagai Menteri Besar Johor, saya nak bagi jaminan bahawa di peringkat negeri ini, insya-Allah pada 19 November ini, apabila diumum kemenangan BN, kita akan sokong 100 peratus kepemimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, katanya.