GEORGE TOWN: Kerajaan Pusat tidak sesekali menganak tirikan kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dalam membangunkan negeri-negeri berkenaan.
Mengenai projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang tergendala, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan keadaan itu berpunca daripada sikap bekas Menteri Kewangan di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng.
Ka Siong, yang juga Presiden MCA berkata, Kerajaan pusat telah menyediakan peruntukan untuk projek pembesaran LTAPP menerusi bajet 2018 namun, Guan Eng mengambil keputusan untuk tidak menggunakan dana tersebut.
Sebaliknya Guan Eng mahu bekerjasama dengan syarikat swasta melalui kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
“Bila mereka (PH) berkuasa mereka yang ubah fikiran tak nak guna dana disediakan nak buat PFI. Tapi sekarang tunding jari kepada Kerajaan Persekutuan kononya anak tirikan Pulau Pinang.
“Dia sendiri yang melambat-lambatkan proses pembesaran itu bila dana untuk projek tersebut sudah tersedia.
“Kita boleh bongkarkan semua dokumen mengenainya ada, saya selaku menteri MoT sudah lihat dokumen itu dan saya tahu siapa syarikat swasta dari negeri ini yang diajak menjadi teman Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB),” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra bersama Pengundi Bayan Baru di Permatang Damar Laut, hari ini.
Lebih lanjut, Ka Siong berkata, selepas kerajaan PH tumbang dan beliau dilantik menjadi menteri, dana itu kemudiannya digunakan untuk menampung kos operasi MAHB susulan tiada penerbangan akibat pandemik Covid-19.
“Selepas lapan hari saya jadi menteri kita melalui fasa pandemik jadi MAHB tiada pendapatan dan memerlukan RM140 juta sebulan untuk menampung kos operasi mereka.
“Bila dana tersedia tidak digunakan, dalam keadaan pandemik jadi kita terpaksa tangguhkan dulu projek pembesaran atas faktor kemampuan kewangan MAHB.
“Tapi itu tidak bermakna kita (MoT) tidak melakukan apa-apa untuk melaksanakan projek tersebut. Kita buat perjumpaan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada Ogos 2022 terangkan apa kekusutan selain membincangkan masalah berkaitan tanah untuk projek tersebut,” jelas beliau.
Tambah beliau, Pulau Pinang akan diberikan keutamaan apabila MAHB mempunyai kemampuan kewangan serta isu pengambilan tanah untuk pelaksanaan projek itu selesai.
“Kita tak pernah batalkan projek pembesaran LTAPP yang suka batal projek semua kerja PH hingga menyebabkan kita terpaksa membayar ganti rugi kepada Singapura.
“Perbincangan mengenainya telah dibuat bersama Kon Yeow dan bukan koordinasi saya jika ketua menteri tak maklumkan pada Guan Eng. Cuma saya nak ingatkan jangan salahkan kerajaan pusat dalam hal ini.
“Nak berdebat atas isu ini? Saya akan bogelkan semua yang berlaku berdasarkan fakta. Tapi saya bukan individu yang suka serang pihak lawan dengan kritikan jadi kita harap jangan jadikan kempen pilihan raya platform tabur penipuan,”tegas Ka Siong.
Media pada 2019 melaporkan, Kerajaan akan menggunakan kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), bagi meneruskan kerja menaik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), serta pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.