GEORGETOWN: Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan isu kekurangan telur yang semakin berkurangan di pasaran sebagai salah satu bahan kempen PRU15.
Malah Presiden PKR itu menegaskan, isu kekurangan telur itu bukan masalah membabitkan kerajaan negeri sebaliknya ia tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
“Nasib baik sini ada telur sebab kerajaan Pulau Pinang, kerajaan PH tapi jangan salah faham isu telur ini masalah Kerajaan Persekutuan bukan masalah kerajaan negeri.
“Tiga tahun silih berganti kerajaan daripada (Tan Sri) Muhyiddin Yassin sampai ke Mail (Ismail Sabri Yaakob) serta 70 orang menteri tapi harga barang lagi teruk, ringgit (RM) teruk.
“Tiada program ekonomi berbangkit, bila tanya Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) semua cakap hidup Melayu tapi telur pun tak ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Bayan Baru di Astaka Desa Mayang, Bukit Gedung, hari ini.
Sementara itu calon Parlimen Tambun itu juga mendakwa keengganannya untuk bersekongkol dalam usaha membebaskan Datuk Seri Najib Razak menjadi punca beliau gagal memegang jawatan Perdana Menteri.
Beliau turut mendedahkan sudah beberapa kali terlepas jawatan pemimpin nombor satu negara itu meskipun surat sokongan mengenainya telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
“Jadi kalau tanya saya, Anwar, nak jadi PM (Perdana Menteri)? Yalah aku terlepas beberapa kali dah. Tahun sudah 15 orang UMNO tanda tangan dah bagi dekat Agong (YDPA) terlepas lagi tapi terlepas sebab apa orang kata, Anwar tak boleh.
“Kalau saya nak saya dah jadi syarat saya kena lepaskan Najib saya kata saya tak boleh. Saya nak naik jadi PM saya mesti jadi pemimpin yang hormat hukum.
“Ini bukan, orang-orang bawah curi sepapan telur bawa pergi lokap yang pemimpin curi berbilion lantik jadi tan sri, datuk,” katanya.