PUTRAJAYA: Penyandang empat penggal bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menempelak naratif yang cuba dimainkan pihak pembangkang iaitu setiap undi diberikan kepada calon Barisan Nasional (BN) bermakna undi kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.
Ku Nan yang juga calon BN Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berkata, satu undi untuk Ku Nan, bermakna satu undi untuk Ku Nan, bukan untuk orang lain.
“Macam orang tanya Khairy Jamaluddin (KJ), satu undi untuk KJ satu undi untuk Ahmad Zahid, saya tahu ke arah mana soalan seumpama ini.
“Kita tahu (calon) Perdana Menteri hanya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, itu juga sudah disebut Ahmad Zahid, jadi ini bukan isu,” katanya selepas lawatan dan ramah mesra bersama penduduk di Medan Selera Presint 16 di sini, hari ini.
Beliau yang juga Bendahari UMNO itu berkata, soal siapa menjadi Perdana Menteri adalah ketentuan Allah, namun perkara paling penting adalah memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
“Semua ini terpulang kepada (ketentuan) Allah SWT, Ismail Sabri dulu pun tidak tahu dia akan jadi Perdana Menteri, semua orang tidak tahu.
“Apa pun perkara paling penting adalah kita mahu negara ditadbir dengan baik, seperti juga tema (manifesto) kita ke arah kestabilan dan kemakmuran,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengingatkan pengundi-pengundi di Parlimen Sungai Buloh untuk tidak mengundi Khairy kerana undian itu akan menjadikan Presiden Umno sebagai Perdana Menteri
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh Khairy yang menegaskan bahawa satu undi untuk Kj adalah satu undi untuk Kj di Sungai Buloh.
Khairy turut menegaskan bahawa calon Perdana Menteri yang dipilih BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.