Saya Fahami Kekecewaan Anwar, Saya Mohon Maaf, Kata Tian Chua

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua menyedari kekecewaan rakannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau mengumumkan untuk bertanding Bebas di Parlimen Batu, sekaligus berdepan dengan calon partinya sendiri.

Malah beliau juga bersedia dengan apa jua tindakan disiplin PKR terhadap dirinya seperti yang ditegaskan Anwar, yang juga Presiden PKR semalam.

Memetik laporan BH, Tian Chua menegaskan tindakannya bertanding sebagai calon Bebas semata-mata kerana mahu menyambung bakti sebagai Ahli Parlimen Batu.

“Saya harus menghormati kuasa Presiden. Saya memahami dilema Anwar, dia terpaksa menjalankan tanggungjawab sebagai Presiden untuk mengikuti peraturan parti.

“Saya amat memahami kekecewaan beliau dan saya mohon maaf kerana terpaksa lakukan perkara yang menyedihkan dia.

“Namun, Saya ingin tegaskan persahabatan saya dengwn Anwar tidak akan berubah walau sedikit pun, walaupun dipengaruhi peristiwa politik semasa.

“Saya tetap menghormati dan menghargai pengorbanan beliau sebagai pemimpin, dan ucapkan semoga berjaya kepadanya dalam PRU15,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Anwar berkata Tian Chua bakal berdepan dengan tindakan pemecatan secara automatik berikutan tindakannya bertanding atas tiket Bebas di kerusi Parlimen Batu pada PRU15.

Anwar meluahkan rasa kecewa sambil meluahkan adalah tidak wajar untuk memilih haluan itu dengan membelakangi keputusan parti.

PKR mencalonkan P Prabakaran mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di Parlimen Batu, sekali gus menjadi antara calon termuda pada PRU15.

Tian Chua yang pernah menyandang kerusi Parlimen Batu selama dua penggal, sebelum ini meluahkan rasa kecewa dengan senarai calon yang diumumkan kepemimpinan parti.

BBerkaitan

Latest articles