SHAH ALAM: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Shah Alam, Afif Bahardin mendakwa beliau mempunyai rekod yang baik sepanjang menjadi exco kerajaan negeri Pulau Pinang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya l.
Sehubungan itu beliau mahu pengundi di Parlimen Shah Alam memberikannya peluang untuk menang di kerusi berkenaan.
Malah calon dari Bersatu itu juga mahu menyelesaikan pelbagai masalah tertunggak yang ditinggalkan penyandang Parlimen berkenaan, termasuk masalah perparitan dan perumahan.
“Selama ini ramai yang tanya saya bila hendak pulang ke Shah Alam, bila hendak berkhidmat kepada rakyat di sini.
“Jadi matlamat saya di sini adalah menawarkan khidmat dan bekerja keras kerana Shah Alam menghadapi pelbagai isu besar seperti banjir dan perparitan. Kita kena jaga imej Shah Alam sebagai bandaraya maju.
“Kita perlu sediakan pelan kecemasan di kala masalah perubahan iklim hari ini. Begitu juga dengan isu-isu perumahan apatah lagi Shah Alam menjadi tumpuan orang-orang yang berhijrah untuk bekerja, berkahwin dan mempunyai anak,” katanya yamh ditemui di Pusat Penamaan Calon di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, hari ini.
Selain Afif, Parlimen Shah Alam akan menyaksikan pertembungan calon Barisan Nasional (BN) diwakili Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Hizatul Isham Abdul Jalil; Gerakan Tanah Air (GTA), Muhammad Rafique Rashid Ali dan Pakatan Harapan (PH) Azli Yusof.