KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan beberapa nama pemimpin UMNO yang digugurkan sebagai calon PRU15 akan bertanding menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN).
“Ada lagi (pemimpin UMNO yang akan bertanding guna tiket (Perikatan Nasional). (Ia) Sedang dalam proses. Saya tidak boleh sebut berapa lagi kerusi.
“Yang penting ada di utara, tengah dan di selatan,” katanya dalam sidang media selepas ceramah perdana sempena majlis Pengisytiharan Calon PRU15 PAS di Marang, Terengganu, semalam.
Jelas Abdul Hadi, perkara itu akan diumumkan sebelum hari penamaan calon, pagi esok.
Semalam, PAS mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim akan mempertahankan kerusi itu menggunakan tiket PN.
Tindakam itu diambil Shahidan selepas kecewa beliau tidak dicalonkan di ‘kubu kuat’ UMNO Perlis itu.
“Beliau dari awal lagi bersama kita daripada Parlimen dan kerjasama bermula awal lagi.
“Beliau menunjukkan keberanian mengkritik presiden UMNO. Dia diambil tindakan secara terbuka dan kita sedar dia ada pengaruh dan bukan sahaja di Arau tapi termasuk DUN di Perlis.
“Kita buka tangan untuk tawan Perlis,” ujar Abdul Hadi.
Untuk rekod, selain Shahidan, turut digugurkan adalah Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi), Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Maran), Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol).
Selain itu Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang) turut tidak disenaraikan sebagai calon PRU15.
Bagi menghadapi PRU15, PAS akan bertanding di 64 kerusi Parlimen manakala Bersatu akan bertanding di lebih 70 kerusi dan Gerakan 20 kerusi.
Bakinya akan ditandingi oleh parti gabungan dengan Bersatu sebanyak 20 kerusi, ujarnya.
“Kecuali (kerusi Parlimen) Sarawak kita serah kepada GPS, dan di Sabah pun begitu juga di bawah GRS,” katanya.