PKR Akan Terima Kesannya Jika Kekalkan Sivarasa Di Sungai Buloh

KUALA LUMPUR: Isu kesihatan menjadi penghalang kepada PKR untuk terus mencalonkan penyandangnya, R. Sivarasa di Parlimen Sungai Buloh.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menambab pengguguran Sivarasa dilakukan bagi mengelak masalah timbul pada masa akan datang.

“Sivarasa itu peguam saya dan kawan baik saya dan telah berkhidmat tiga penggal dan keadaan kesihatan, kita tengok juga ada isu. Jadi apabila dia pergi dilihat dengan keuzuran beliau, itu akan mengesankan.

“Jadi saya sudah beri pertimbangan masalah itu dan kita boleh tonjolkan tokoh yang boleh mengalahkan Khairy Jamaluddin (calon Barisan Nasional),” katanya kepada media selepas melancarkan buku tulisan beliau bertajuk ‘Membangun Negara Madani di sebuah hotel, hari ini.

Sebelum ini PKR mengumumkan Datuk R. Ramanan yang sebelum ini bersama MIC akan menjadi calon di Parlimen Sungai Buloh.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam sidang media pada hari ini mengakui beliau mencadangkan Sivarasa kekal mempertahankan kerusi yang disandangnya itu.

Beliau berkata, jawatankuasa dalaman calon juga berpandangan sama seperti itu dan bukannya meletakkan calon pendatang baru,

Bercakap mengenai calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin di kerusi yang sama, Anwar mengalu-alukan kedatangan Menteri Kesihatan itu.

Namun, menurut Anwar, Khairy perlu menjawab pelbagai persoalan terutamanya ketika memegang jawatan Menteri Kesihatan.

“Dia boleh (bertanding), tetapi kena jawab mengapa ubat vaksin tidak ada tender, mengapa kematian 36,000, mengapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling lama yang memudaratkan hidup rakyat dan menyeksa rakyat serta mengapa tidak ada ketelusan berpuluh tahun dalam kes-kes dikaitkan dengan penyelewengan dan rasuah, itu hal yang harus dijawab,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles