Muhyiddin Sombong Bila Diajak Bekerjasama Walaupun Tun M Sedar Dia Mangsa Khianat

KUALA LUMPUR: Meskipun dirinya pernah dikhianati sehingga runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sanggup merendahkan diri dan melupakan perbuatan tersebut.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu bagaimanapun berkata pelawaannya tidak mendapat reaksi yang positif dari Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Mahathir mendakwa parti pembangkang hanya boleh mengalahkan UMNO dengan cara bekerjasama dan atas sebab itu beliau memilih mengusulkan perkara itu kepada Muhyiddin.

“Kita pun fikir takpalah kalau pun dia (pernah) tikam belakang (saya) kerana demi bangsa, negara, agama kita, kita sanggup rendahkan diri nak bersama dengan Muhyiddin, walaupun dia buat khianat saya, tak apalah saya boleh lupakan perkara itu.

“Tetapi bila kita cuba nak kerjasama dengan Muhyiddin tetapi dia jawab dia tak nak kerjasama dengan siapa sahaja, bukan main sombong,” katanya ketika berucap pada Program Rapat Umum GTA Kedah, malam ini.

Dr Mahathir, yang juga penyandang Parlimen Langkawi, mendakwa Muhyiddin yakin PN boleh memenangi PRU15 tanpa perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak dan masih berminat untuk menjadi perdana menteri buat kali kedua.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, berkata GTA menyasarkan untuk bertanding sekitar 120 kerusi Parlimen dan pengumuman calon akan dibuat pada 2 Nov ini.

“Kita akan buat majlis pengenalan calon kesemuanya pada 2 Nov ini di pusat, tapi dari semasa ke semasa kita akan buat pengumunan dua tiga calon di peringkat negeri atau pun di pusat.

“Keseluruhan kerusi sasaran kami GTA akan bertanding di 120 kerusi tapi angka itu akan dimuktamadkan kemudian, mungkin lebih mungkin kurang. Di Kedah, tidak kurang 10 kerusi Parlimen akan ditandingi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles