KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu jentera Barisan Nasional (BN) lebih lantang menangkis fitnah yang dilontarkan pembangkang.
Berbeza dengan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14), rakyat kini tidak akan mudah terpedaya dengan fitnah yang dilontarkan.
“Mereka fitnah kononnya kerajaan gagal urus ekonomi negara dengan baik sedangkan untuk pertumbuhan ekonomi kita merupakan yang terbaik di Asia Tenggara. Pertumbuhan sebanyak 8.9% pada suku kedua pada 2020,” katanya ketika berucap pada Majlis Solidariti, Kestabilan dan Kemakmuran bersama Perdana Menteri peringkat Pahang dan pelancaran jentera BN Pahang di Dewan Kerayong, hari ini.
Tambah beliau, pertumbuhan ekonomi yang baik itu dinyatakan Bank Dunia yang menyemak semula unjuran Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) kepada 6.4% berbanding 5.5% unjuran awal.
Berikutan itu, menurut Ismail Sabri, adalah tidak wajar pembangkang menuduh kerajaan gagal mengurus ekonomi negara.
“Kita perlu jawab. Kerana kalau kita gagal, Perdana Menteri hari ini daripada Barisan Nasional. Bagaimana rakyat nak berikan keyakinan kepada BN,” jelasnya.