Daftar Nikah, Bayaran Nafkah Antara Perkara Disaring Untuk Calon BN

KUALA LUMPUR: Saringan ketat dan teliti akan dilakukan Barisan Nasional, antaranya kali ini membabitkan soal pendaftaran pernikahan dan tanggungjawab membayar nafkah anak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua senarai calon BN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan sahaja disaring polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi juga membabitkan pejabat agama.

Tujuannya untuk memastikan urusan pernikahan calon dibuat mengikut undang-undang bagi mengelakkan isu yang timbul kelak.

“Mungkin kali ini dengan pejabat agama, pejabat kadi kita kena check (semak) juga, takut kahwin dekat Siam, takut timbul isu nanti. Ada isu isu nafkah anak tak bayar, dah masuk judgement (keputusan) mahkamah syariah.

“Kalau dulu kita tak pernah check seperti itu, tetapi kali ini lebih details (teliti),” katanya pada sidang media selepas melakukan walkabout dan taklimat berhubung PRU-15 kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, hari ini.

Hadir sama pada sesi taklimat itu Ketua Setiausaha Negara Ketua, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Media hari ini melaporkan semua parti politik mengenakan syarat ketat pemilihan calon bertanding PRU15 termasuk isu poligami di Siam dan memalsukan kelulusan akademik.

Ia bagi memastikan isu peribadi dan rekod salah laku tidak menjadi ‘bola tanggung’ musuh politik masing-masing sepanjang kempen PRU15 sehingga menjejaskan potensi kemenangan.

Semakan itu bukan sahaja melibatkan integriti dan bebas jenayah tetapi rekod peribadi lampau di samping memastikan perkahwinan mereka sama ada dengan isteri kedua atau seterusnya melalui proses yang sah dan didaftarkan di negara ini.

BBerkaitan

Latest articles