KUALA LUMPUR: Tidak ada keperluan untuk ketiga-tiga gabungan politik iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengadakan debat melibatkan calon perdana menteri masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata penganjuran debat seperti itu bukanlah budaya di negara ini malah tidak pernah dipratikkan sebelum ini.
Naib Presiden UMNO itu juga percaya debat antara calon perdana menteri jika diadakan, hanya sekadar platform bagi pendebat untuk menaburkan janji-janji mereka.
“(Berdebat) bukan budaya kita, ia tidak mendatangkan apa-apa hasil.
“Kalau diberikan (peluang) berdebat, dia (pendebat) akan sebut janjinya, bulan bintang akan disebut, jadi tidak perlu (berdebat),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Khas Perdana Menteri Sempena PRU-15 dan Monsun Laut 2022 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Reaksi Ismail Sabri itu merujuk kepada cadangan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tiga calon Perdana Menteri dari PH, PN dan BN mengadakan debat secara terbuka sempena PRU-15.
Anwar berkata, perbahasan tersebut perlu memberi tumpuan kepada soal dasar dan perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah, pembentukan kerajaan berdasarkan kepercayaan rakyat dan langkah berdebat adalah tidak perlu.
“Saya rasa tak perlu ada debat, kita sibuk di kawasan kita, kawasan masing-masing untuk kempen,” katanya.