KUALA LUMPUR: Keyakinan para pelabur untuk melabur di negara ini semakin memberansangkan apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal calon perdana menteri selepas PRU15.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pendirian mengekalkan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ pada pilihan raya kali ini menambahkan keyakinan pelabur bahawa situasi politik di negara ini semakin stabil.
Ini turut dibantu dengan jumlah dagangan di Bursa Malaysia meningkat dan indeks petunjuk pasaran melepasi paras 1,400 mata sejak empat hari lalu.
Keadaan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kenyataan dibuat Ahmad Zahid selepas merasmikan Mesyuarat Agung Bahagian Bagan Datuk.
The Edge melaporkan, Bursa Malaysia meneruskan momentum positif untuk hari dagangan keempat berturut-turut, dengan indeks utama meningkat 1.05%, meningkat dengan pembelian saham perbankan.
Pada pukul 5 petang semalam (19 Okt), penanda aras FBM KLCI telah melonjak 14.74 mata sebelum ditutup pada paras tertinggi harian pada 1,415.10, daripada penutupan Selasa pada 1,400.36.
Indeks dibuka 2.32 mata lebih tinggi pada 1,402.68, dan kemudian mencecah paras terendah harian pada 1,400.28, sebelum meningkat sepanjang hari untuk ditutup lebih tinggi.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 437 berbanding 426, manakala 382 kaunter tidak berubah, 1,117 launter tidak diniagakan dan 18 kaunter digantung.
Momentum tersebut dijangka terus meningkat dengan didorong oleh pelbagai faktor.
Antara faktor utama peningkatan prestasi Bursa Malaysia ialah keyakinan pelabur terhadap Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri yang membawa kestabilan kepada negara.
Pelabur yakin dengan pengalaman yang dimiliki oleh pimpinan Barisan Nasional (BN) mampu membawa kestabilan dan kemakmuran kepada Malaysia.
Jumlah kenaikan dagangan selama empat hari berturut-turut itu satu petunjuk positif terhadap keyakinan pelabur terhadap kestabilan negara selepas Bursa Malaysia jatuh di bawah 1,300 mata pada 22 September lalu.
Indeks negatif pada waktu itu disebabkan pelbagai faktor khususnya ketidaktentuan politik dan kebimbingan kemelesetan ekonomi global pada tahun depan.