PKR Nekad Pertahan Kerusi Dilarikan Pengkhianat

KUALA LUMPUR: Selain mempertahankan kerusi-kerusi Parlimen yang disandang, PKR turut memberi tumpuan khusus pada kerusi ‘pengkhianat’ parti itu dengan memastikan kerusi terbabit kembali menjadi milik mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil juga berkata, partinya dan Pakatan Harapan (PH) turut mengintai peluang di beberapa kerusi tambahan untuk ditandingi pada PRU-15, khususnya yang dimenangi BERSATU pada PRU-14.

“Sekarang fokus kita bukan saja kerusi disandang, tapi juga beberapa kerusi lain yang menjadi sasaran. Semestinya kita beri fokus pada kerusi pengkhianat PKR dan rakyat, ini menjadi fokus khusus pimpinan.

“Kalau PRU-14 PKR bertanding 51 kerusi di Semenanjung, jangkaan kita lebih daripada itu (untuk PRU-15) kerana 52 kerusi BERSATU akan diagihkan antara PKR, DAP dan AMANAH di Semenanjung.

“Angka sebenar kita tunggu keputusan parti kerana masih ada beberapa kerusi yang masih dalam perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas PKR di ibu pejabat parti itu, malam tadi.

Fahmi terlebih dahulu diajukan sama ada PKR sudah memuktamadkan calon serta jumlah kerusi yang bakal ditandingi parti berkenaan dalam PRU-15.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

BBerkaitan

Latest articles