Ada Yang Pandai-Pandai Buat Kenyataan Bertentangan Pendirian PAS

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Nasrudin Hassan mengingatkan beberapa pihak untuk tidak menjadi ‘jurucakap tanpa tauliah’ yang membuat kenyataan bertentangan dengan keputusan parti itu khususnya yang melibatkan pendiriannya terhadap parti-parti lain.

Tegasnya kenyataan sebegitu hanya akan
membawa salah faham terhadap PAS sebagai ‘politik sailang’ dan terjerat dengan keadaan yang berlaku.

Malah Nasrudin menasihatkan pihak-pihak berkenaan mengikut pendirian Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Penentuan sikap PAS sangat jelas dan konsisten. Melalui Agenda Perpaduan Ummah yang dibawa oleh PAS, Presiden telah mendukungnya dengan begitu cermat dan teliti berpaksi kepada keputusan Retreat Kepimpinan PAS, Mesyuarat AJK PAS Pusat dan Muktamar Tahunan PAS bahawa Barisan Nasional (BN) adalah rakan taawun (kerjasama politik) PAS. Justeru BN bukan musuh.

“PAS sedang memfokuskan usahanya untuk tidak membenarkan Pakatan Harapan (PH) kembali meraih takhta pemerintahan negara ini melalui pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Polemik antara PAS dan Bersatu mula kelihatan apabila parti pimpinan Abdul Hadi itu dilihat mahu mengukuhkan kerjasamanya bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Bersatu bagaimanapun tidak senang dengan pendirian itu, malah baru-baru ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa BN adalah musuh kepada Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu PAS menyatakan ia akan memuktamadkan hala tuju mereka dalam kerjasama antara UMNO mahupun PN dalam masa terdekat, demikian menurut Muhyiddin.

Sehubungan itu, Nasrudin meminta semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan atau hasil perbincangan antara parti agar tidak dilihat bertentangan antara satu sama lain.

“Khasnya dalam perkara yang telah ada keputusan muktamad dari parti-parti yang terlibat termasuk PAS.

“Justeru, ia terlebih dahulu perlu diperhalusi dan kembali dirujuk kepada parti masing-masing dengan mengambil kira keputusan yang telah dibuat sebelumnya,” jelasnya.

Beliau memberitahu, PAS berusaha memastikan parti-parti Melayu-Islam tidak bertembung sesama sendiri dan pada masa yang sama, membina hubungan erat dengan pihak bukan Islam yang tidak ekstrem dan memusuhi Islam.

“Andai kita mendahulukan keikhlasan dan ketulusan dalam menentu sikap berpolitik, insya-Allah segala perkara yang kusut dan khilaf boleh dirungkai dan diselesaikan menerusi meja rundingan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles