KUALA LUMPUR: Selepas wujud desas-desus kemungkinan beliau akan bertanding di Ampang, hari ini Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti memberikan bayangan akan bertanding di kerusi yang pernah ‘dilarikan’ oleh bekas pemimpin PKR.
“Kawasan kubu UMNO pun (PH) boleh masuk. Tetapi saya harus pilih kawasan-kawasan pengkhianat. Mesejnya bahawa pengkhianatan dalam politik (tidak boleh diterima).
“Kemungkinan besar (saya bertanding) di kerusi pengkhianat,” katanya kepada pemberita pada program Sembang Kencang Kelab Wartawan Kuala Lumpur (KLS) @DSAI, malam ini.
Kenyataan Anwar itu sekaligus menunjukkan beliau mungkin tidak akan mempertahankan Parlimen Port Dickson yang dimenanginya pada PRU14.
Sebelum ini juga wujud khabar angin bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu diberikan tawaran kerusi Parlimen Tambun.
Untuk rekod kerusi-kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh PKR adalah antaranya Parlimen Gombak, Ampang, Bandar Tun Razak, Batu Pahat dan Segamat.
Bagaimanapun kerusi-kerusi berkenaan ‘dilarikan’ selepas beberapa pemimpin itu bertindak keluar dari PKR dan menyertai parti politik yang lain seperti Bersatu dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Zuraidah Kamaruddin.