KUALA LUMPUR: Persediaan rapi sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut adalah penting supaya pihak yang terlibat, terutama pasukan bantuan bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi
Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengadakan program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada hari ini dengan melibatkan seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan JKM, agensi-agensi lain dan juga sukarelawan.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat percaya latih amal adalah sangat penting bagi para petugas dan sukarelawan yang akan mengendalikan PPS di seluruh negara khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
L
“Berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 (Semakan Semula), Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, JKM mempunyai empat (4) peranan dan tanggungjawab utama iaitu menyedia dan menyelenggarakan pusat-pusat pemindahan mangsa-mangsa bencana, menyediakan dan mengedarkan bantuan makanan, pakaian dan lain-lain keperluan asas kepada mangsa-mangsa bencana, menjalankan pendaftaran mangsa-mangsa bencana bagi maksud pemulihan dan memberi bimbingan, nasihat/kaunseling kepada mangsa-mangsa bencana.
“Sehingga 23 September 2022, JKM telah mendaftarkan sebanyak 6,010 buah PPS untuk kapasiti seramai 1.6 juta orang mangsa di seluruh negara berdasarkan pengesahan dan kelulusan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD). Bilangan PPS ini juga dijangka akan bertambah apabila proses pendaftaran semua sekolah sebagai PPS selesai,” katanya.
Sehingga kini terdapat 96 buah PPS melibatkan 12 kawasan parlimen yang berkapasiti untuk menempatkan 22,145 orang mangsa bencana.
Program ini diadakan sebagai latihan dalam memastikan persediaan rapi dibuat oleh semua pegawai dan kakitangan JKM dan agensi-agensi terlibat supaya sentiasa bersiap sedia seterusnya dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap, bersepadu dan berkesan di PPS.
Dalam pada itu Rina memaklumkan JKM komited untuk bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat bagi memastikan negara dapat menguruskan bencana dengan sebaiknya demi kebajikan dan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.
Malah rakyat juga dinasihatkan sentiasa bersiapsiaga dan mematuhi arahan pihak berwajib sekiranya terlibat dalam bencana khususnya bencana banjir, lebih-lebih lagi mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi.