KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu akan mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang minggu depan bagi mendapatkan penjelasana berhubung pertemuannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa lalu.
Bahkan Muhyiddin juga mahu mendengar pendirian PAS terhadap kerjasama dengan UMNO yang dilihatnya sebagai cenderung mengukuhkan gagasan Muafakat Nasional (MN).
“Saya ada baca kenyataan itu (Hadi jumpa Zahid). Saya juga ingin tahu apa yang berlaku dalam pertemuan itu.
“Saya akan jumpa Hadi dalam Isnin atau Selasa,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun Bersatu ke-6.
Beberapa hari lalu Abdul Hadi memaklumkan telah membuat satu pertemuan dengan Zahid pada pada Selasa lalu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun, sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh pada PRU15.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang Pengerusi PN berkata, beliau juga mahu mengadakan perbincangan mengenai hasil perjanjian yang telah dibuat antara PAS dan UMNO.
“Kita akan bincang banyak isu yang penting,” katanya.