KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata pembangkang mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak diadakan dalam masa terdekat kerana strategi fitnah mereka masih belum berhasil.
“Pembangkang dakwa kerajaan hari ini kerajaan gagal, tetapi tuntut PRU-15 dilambatkan. Sebenarnya fitnah mereka belum cukup power.
“Rakyat tidak terpengaruh. Sebab itu minta dilambatkan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada masa ini membangkitkan isu kemungkinan berlaku banjir besar sekiranya PRU-15 diadakan hujung tahun ini.
Mereka menuduh BN tidak mempedulikan keselamatan rakyat apabila mendesak PRU-15 diadakan segera walaupun jentera parti terpaksa meredah banjir untuk berkempen.
Pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin PH termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli semakin giat menyerang kepimpinan BN termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan agar Parlimen dibubar pada awal Oktober supaya PRU-15 dapat diadakan sebelum musim tengkujuh yang dijangka bermula hujung November.