SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini m melepaskan dan membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid dalam kes berprofil tinggi ini.
Sebaik sahaja penghakiman dibacakan, kedengaran tepukan dan laungan dari dalam galeri mahkamah oleh penyokong serta keluarga Ahmah Zahid.
Malah bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga dilihat menadah tangan mengucapkan syukur.
Pada 26 Jun 2019, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem VLN.
Bagaimanapun pada 31 Julai 2019 mahkamah membenarkan permohonan Ahmad Zahid bagi memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama-sama 33 lagi pertuduhan rasuah membabitkan VLN.
Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan bersama.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh didakwa terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada syarikat UKSB sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN.
Selain itu beliau juga didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.