KUALA LUMPUR: Dakwaan mengatakan bahawa kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih baik berbanding Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan tidak berasas.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad, berkata kenyataan tersebut perlu berlandaskan fakta yang tepat.
Beliau berkata, berdasarkan fakta banyak perubahan berlaku sejak Ismail Sabri mengambil alih tampuk pemerintahan bermula Ogos tahun lepas.
“Baru-baru ini Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah membentangkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah mencapai 8.9 peratus tertinggi di Asia Tenggara.
“Kadar pengangguraan juga dapat dikurangkan kepada 3.8 peratus selain dapat mengawal kadar inflasi berdasarkan apa sahaja tindakan dan keputusan yang kerajaan buat demi kesenangan rakyat,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Syed Mohd Fazmi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Bekas Setiausaha Sulit, Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad bahawa bekas Perdana Menteri kelapan itu dikatakan memperoleh markah lulus dengan baik ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu berbanding Ismail Sabri.
Marzuki merujuk kepada kajian Mereka Centre for Opinion Research, 72 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin pada Mei 2020 diikuti 74 peratus (September 2020), 67 peratus (November 2020), 63 peratus (Januari 2021), 68 peratus (April 2021) dan 57 peratus (Jun 2021).
Malah menurut Marzuki, markah purata Muhyiddin sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri sebelum ini adalah 67 peratus.
Terdahulu, beliau hadir pada lawatan ke jambatan menara berkembar PETRONAS bersama Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PKPDK) OKU Maharani Muar, di Malaysian Petroleum Club, hari ini.
Program membabitkan 47 orang kanak-kanak OKU itu merupakan program tanggungjawab sosial Korporat (CSR) antara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Petronas.
Mengulas lanjut, Syed Mohd Fazmi berkata, berlandaskan fakta bahawa kerajaan pimpinan Ismail Sabri berada dalam proses yang betul ke arah pemulihan.
“Kalau nak kata gagal kita dah dapat tunjukkan dengan fakta bahawa kerajaan dalam proses yang betul ke arah pemulihan. Jadi bagi saya tiada isu mengatakan gagal dan sebagainya.
“Kadar kesenangan rakyat meningkat pada zaman Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Ini dapat dilihat apabila beliau membuka ruang bagi merancakkan semula sektor ekonomi malah kadar pelaburan perniagaan secara runcit kini dalam keadaan yang betul,” katanya.