Muhyiddin Juga Gagal Sebagai Pengerusi MPN

KUALA LUMPUR: Dakwaan kerajaan sebagai gagal menguruskan ekonomi dan negara perlu dipertanggungjawabkan juga terhadap Majlis Pemulihan Ekonomi Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana majlis itu ditubuhkan untuk menjadi penasihat kepada kerajaan.

“Dari segi ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Ekonomi) ada mengurus ekonomi dan kita ada Majlis Pemulihan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Muhyiddin sendiri.

“MPN pun menasihatkan kerajaan jadi tanggungjawab itu adalah tanggungjawab bersama. Kalau gagal maknanya semua gagal.

“Semua gagal termasuk Majlis Pemulihan Ekonomi juga gagal,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Dasar Tenaga Negara 2022-2040, hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri diajukan mengenai saranan Muhyiddin terhadapnya untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jika gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

“Barisan Nasional sedang menekan perdana menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan. Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak perdana menteri supaya membubar Parlimen.

“Tetapi, saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” kata Muhyiddin di laman Facebook, hari ini.

Lebih lanjut Ismail Sabri berkata, beliau belum membaca sepenuhnya kenyataan Muhyiddin dan maksud sebenar kenyataan beliau.

“Jadi saya tidak tahu apa cerita sebenarnya dan hari ini baru tahu. Saya belum baca detail lagi (kenyataan Muhyiddin),” katanya.

BBerkaitan

Latest articles