DAP Nak ‘Melayu’ Yang Ikut Acuan Mereka

KUALA LUMPUR: Datuk Zaid Ibrahim menyelar parti lamanya iaitu DAP apabila menuduh kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dua tahun yang lalu disebabkan oleh kaum Melayu.

Zaid memberi reaksinya terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam forum bersama pemimpin DAP baru-baru ini yang disifatkan berbaur perkauman.

Malah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mahu DAP mengambil tanggungjawab terhadap dakwaan berkenaan kerana percaya ia akan mengundang lebih masalah selepas ini.

Zaid juga mencabar kepimpinan DAP berterus terang Melayu seperti mana yang akan diterima oleh parti itu.

“Ahli fikir terkemuka itu (Tommy) berucap panjang lebar mengenai kegagalan kepimpinan Melayu. Dia kata kalau kerajaan dan Kabinet ramai Melayu maka gagallah kerajaan itu. Itulah intipati ucapan dia yang turut bersamanya veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Saya nak tanya, Melayu yang macam mana yang boleh diterima oleh DAP? Kerana kalau DAP dalam kerajaan sekali pun mesti kena ramai Melayu. Jadi, DAP nak pilih Melayu yang macam mana, yang tidak gagal dan yang mampu mentadbir?

“Boleh rakyat tahu (jenis) Melayu yang diluluskan, yang direstui oleh DAP? Ini penting kerana pengundi Melayu hendak tahu. Mereka nak tahu Melayu yang disokong oleh PH ini apakah mereka Melayu berguna atau Melayu tidak berguna? Atau apakah mereka ini berguna untuk DAP semaa-mata?” soalnya dalam rakaman video yang dimuatnaik di akaun Facebooknya hari ini.

Terdahulu dalam forum yang diadakan DAP, Tommy mendakwa dua pentadbiran kerajaan selepas PH tumbang pada 2020 menunjukkan kegagalan kerajaan yang didominasi kaum Melayu, sekaligus mencerminkan konsep Ketuanan Melayu.

Mengulas lebih lanjut, Zaid mahu DAP menjawab apakah kriteria yang dipersetujui oleh DAP kerana umum tahu di Malaysia, sesiapa yang memerintah mesti ramai menteri Melayu kerana bangsa itu lebih ramai dari kaum lain.

“Saya hendak tanya DAP dan pucuk pimpinan parti ini, apakah mereka setuju dengan analisa dan pendekatan Tommy ini? Kalau tidak setuju sila buat kenyataan. Saya rasa isu perkauman seperti ini tidak menguntungkan, ia lebih banyak menimbulkan masalah.

“Mana-mana bangsa sekali pun, baik Cina, India mahupun Melayu ada yang berguna, ada yang tidak berguna tetapi jangan pukul rata kata kerajaan ini gagal kerana kerajaan Melayu,” katanya.

Berbeza dengan DAP, Zaid memuji ucapan seimbang pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Jeyakumar yang tidak menyalahkan Melayu dalam isu perkauman kerana ia juga turut dicetuskan oleh kaum lain.

“Bezanya dalam forum yang sama, Dr. Jeyakumar kata isu perkauman ini jangan salahkan Melayu sahaja, ia timbul daripada semua pihak yang terlibat dalam kancah politik Malaysia.

“Dia juga menyebut mengenai ekonomi, perindustrian, industri kecil dan sederhana (SME) yang dibolot sebanyak 95 peratus oleh orang Cina sehinggakan timbul persoalan daripadanya, apakah pekerja di industri kecil dan sederhana ada orang Melayu?

“Jadi, perkauman ini memang wujud tapi kalau nak salahkan orang Melayu dan kepimpinan Melayu saja tidak betullah,” katanya.

Dalam masa yang sama Zaid menggesa kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO agar tidak berteriak bubar Parlimen sahaja sebaliknya memikirkan kepimpinan yang akan menerajui kerajaan selepas ini.

“Kepada BN dan UMNO, saya harap kita bukan saja berteriak nak bubar, bubar, bubar. Kita juga perlu berteriak kepimpinan kita, kerajaan yang akan ditubuhkan dan apakah keutamaan yang akan kita berikan.

“Melayu yang macam mana kita akan ketengahkan, Cina dan India yang macam mana akan diketengahkan.

“Kita mesti mencari satu parti untuk membentuk kerajaan yang bertanggungjawab, yang berfungsi dan boleh melakukan yang hebat untuk rakyat Malaysia. Itu tanggungkawab kita,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles