KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata beliau telah dimaklumkan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengosongkan kerusi berkenaan pada pilihan raya akan datang bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO itu.
“Sebagai orang parti, orang tahu kesetiaan saya, saya tak pernah lompat ke mana-mana, setia dengan UMNO, saya ikutlah apa arahan dari pucuk pimpinan parti.”
“Ya, dia (Tok Mat) dah maklum pada saya untuk saya pergi ke tempat lain dan oleh kerana beliau adalah Ketua Bahagian Rembau, saya timbalan kepada beliau, saya kena bagi laluanlah.
“Beliau kata nak bertanding di Rembau dan minta saya bagi laluan kepadanya. Saya tidak ada halangan. Saya kena bagi laluanlah,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ (MKPO) 2022, hari ini.
Menteri Kesihatan itu juga mengakui sedikit segan untuk mencari kerusi Parlimen yang sesuai untuk ditandingi memandangkan telah sekian lama ‘sebati’ di Rembau.
Khairy turut memaklumkan bahawa sehingga kini tidak mengetahui kerusi Parlimen mana yang akan diintainya pada PRU15.
“Itu saya tak tahu, sebab saya dari Rembau. Saya Timbalan Ketua Bahagian Rembau. Saya tak tahu tempat atau kawasan lain sebab saya berpolitik di Rembau lebih 20 tahun dan jadi Ahli Parlimen hampir 15 tahun di sana.
“Saya tak pernah fikir nak jadi ahli Parlimen atau calon di tempat lain. Kenapa saya nak fikirkan tempat lain, sedangkan saya sudah 15 tahun di Rembau. Bila saya diberitahu untuk keluar cari tempat lain, maka saya kenalah sekarang berusaha sekiranya ada kawasan nak terima saya.
“Saya akan akur dan kalau pucuk pimpinan tak pilih saya bertanding pun saya akan terima sebab saya orang parti. Cuma setakat ini saya belum terima apa-apa arahan lagi.
“Saya nak pergi tempat lain pun rasa malu juga (ketawa)… nak ceroboh kawasan orang lain sebab politik UMNO ini kita bertanding di kawasan kita, kawasan di mana kita menjadi ahli, berkhidmat dan berjasa di kawasan tersebut.
“Sekarang ini terpulanglah kepada pucuk pimpinan parti dan pada masa sama menunggu arahan itu saya sedang berusaha bertanya khabar dengan kawan-kawan yang mungkin ada tempat nak beri kepada saya, tapi kalau tak ada pun, tak apa,” katanya.
Mohamad, atau Tok Mat pada semalam memberitahu akan terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam PRU15 ini.
Malah beliau juga memaklumkan akan bertanding kerusi Parlimen Rembau.