KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima dengan terbuka penolakan Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dalam mendepani PRU15.
”Tidak mengapa itu satu pandangan kalau dia kata tidak mahu, tidak mengapa,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara (MPN), semalam.
Menjelaskan lebih lanjut, Presiden Bersatu itu mendakwa cadangan untuk bekerjasama itu timbul bukan atas kepentingan dirinya atau parti semata-mata.
Sebaliknya ia membawa suara rakyat yang tidak lagi mahu Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan selepas ini, kata Muhyiddin.
”Kepentingan negara sepatutnya mendahului kepentingan parti.
”Kita melihat cadangan itu kerana kita nak menentukan supaya masa depan negara akan lebih selamat. Kita tidak akan terus terjerumus dalam kancah kleptokrasi, rasuah, salah guna kuasa yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
”Itu bukan kebimbangan saya, itu kebimbangan rakyat. Sebab itu yang saya suarakan, itu bukan soal kepentingan PN, tapi untuk kepentingan negara.
“Oleh itu, saya serahkan untuk pimpinan-pimpinan politik untuk memikirkan, soalnya adakah kamu memikirkan tentang parti kamu atau negara?,” katanya.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata isu siapa Perdana Menteri selepas pilihan raya tidak wajar dijadikan keutamaan dalam sebuah kerjasama yang dijalinkan sebaliknya memastikan kesan positifnya kepada negara.
“Tidak perlu fikir siapa nak jadi Perdana Menteri, selamatkan negara dahulu. Itu bagi saya kalau Rafizi jawab tidak setuju, tidak setujulah, saya bukan tidak kenal, saya kenal dialah,” tambah beliau.