Firma guaman saya sudah lakukan terbaik – Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR: Datuk Mohd Zaid Ibrahim menegaskan firma guamannya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners sudah melakukan yang terbaik untuk Datuk Seri Najib Razak dalam prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mohd Zaid menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook, berkata beliau menerima dan memahami bahawa Najib kini berada di titik penting dalam garis masa kes SRC, apabila kebebasan peribadinya menjadi taruhan.

Katanya, beliau menerima dengan hati terbuka keputusan Najib untuk memberhentikan khidmat firma guamanya.

“Kami memahami sepenuhnya bahawa beliau perlu melakukan apa yang terbaik buat dirinya.

Berikut adalah terjemahan penuh kenyataan rasmi beliau :-

Saya membuat kenyataan media ini sebagai respon terhadap pihak media terutamanya, kerana saya telah menerima begitu banyak pertanyaan daripada mereka berkenaan pelepasan perkhidmatan firma guaman saya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Rakan-Rakan (ZIST) oleh Dato’ Sri Najib Razak daripada mewakili beliau dalam rayuan berkaitan kes SRC International yang sedang berjalan di Mahkamah Persekutuan.

Pagi ini, ketua pasukan pembelaan, Hisyam Teh Poh Teik telah memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan tentang perkara ini.

Saya mengesahkan bahawa ini adalah keputusan yang dibuat oleh Dato’ Sri Najib sendiri dan mendapat sokongan penuh serta persetujuan daripada saya.

Seperti yang saya faham, keputusan Dato’ Sri Najib ini adalah berdasarkan kepercayaan bahawa pasukan guaman beliau sudah tidak mampu lagi untuk memberikan sebarang khidmat yang berguna kepada beliau dalam perbicaraan yang berkaitan dengan rayuan tersebut yang sedang berjalan di Mahkamah Persekutuan.

Dato’ Sri Najib percaya bahawa andaian negatif barisan Hakim yang beranggapan bahawa penyusunan semula pasukan guaman beliau menjelang akhir bulan lepas sebagai sebahagian daripada helah semata-mata untuk menyekat dan mengganggu prosiding agar dapat mengelak atau melambat-lambatkan mahkamah daripada membuat keputusan muktamad dan menjatuhkan hukuman kepadanya, ataupun atas sebab-sebab politik.

Saya, yang juga merupakan ahli politik, boleh mengesahkan di sini bahawa andaian tersebut adalah sangat menyimpang jauh daripada perkara sebenar.

Sebagai seorang peguam, dan sebagai seorang peguam yang telah diminta untuk membantu Dato’ Sri Najib dalam perkara ini, saya telah melihat dan meneliti bahan-bahan serta kertas pembelaan yang menunjukkan secara jelas bahawa memang wujud bukti-bukti baru yang ingin beliau kemukakan kepada mahkamah. Malah saya mengakui bahawasanya bukti-bukti tersebut akan mempunyai kesan yang cukup besar dalam hal berkaitan konflik kepentingan hakim Nazlan Ghazali yang jelas dilihat berat sebelah dalam menjalankan tugas sebagai Hakim Perbicaraan kes, membuat penghakiman, dan seterusnya menjatuhkan hukuman kepada Dato’ Sri Najib.

Saya menyesal kerana walaupun ketua pasukan guaman, Hisyam Teh Poh Teik telah mencuba sedaya upaya beliau, serta peguam-peguam dalam pasukan saya dari Kuala Lumpur dan Singapura turut mencuba meyakinkan mahkamah, kami masih gagal memadamkan andaian negatif yang menyedihkan dan di luar konsep tersebut.

Hakikat bahawa terdapat kemungkinan yang Dato’ Sri Najib benar-benar hanya ingin menuntut keadilan, sudah tidak lagi diambil kira oleh mahkamah.

Keputusan untuk berundur dan berehat sementara daripada kes ini dibuat atas kepercayaan bahawa terdapatnya keperluan untuk menggunakan pendekatan serta perspektif baru bagi kes Dato’ Sri Najib ini. Pendekatan yang menghendaki beliau untuk melupakan terus sebarang niat atau taktik serangan peribadi terhadap hakim Nazlan yang mengendalikan perbicaraan.

Sebaliknya, kami telah berniat untuk fokus pada isu-isu perundangan dan fakta yang mengelilingi kes, penumpuan diberikan terutamanya berkenaan isu-isu yang berat sebelah serta konflik kepentingan.

Kami yakin dan percaya berdasarkan analisis fakta kes bahawa, bukti-bukti baru ini akan sepenuhnya berpihak kepada Dato’ Sri Najib sekaligus memberi kelebihan dalam perbicaraan kepada beliau.

Dalam usaha untuk memastikan bahawa permohonan untuk mengemukakan bukti-bukti tambahan yang baru itu cukup kuat serta meyakinkan sebelum dikemukakan kepada Mahkamah, saya telah berunding dengan sahabat serta rakan sekerja di Singapura, Niru Pillai daripada Niru & Co LLC. Saya tahu bahawa Niru mampu membawa masuk nilai tambah dan akan menjadi arkitek yang sangat sesuai untuk membawa perspektif baru yang berbeza sepenuhnya ke dalam mana-mana kes yang agak sukar. Niru pun kemudian membentuk satu pasukan dari firma guamannya untuk membantu ZIST. Beliau juga turut berusaha mendapatkan nasihat daripada pihak-pihak berkecuali seperti peguam-peguam utama yang cukup berpengalaman dalam perundangan jenayah, yang kini turut berhadapan dengan rayuan serta permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan yang baru.

Dengan rangkaian serta hubungan profesional yang luas di India, Niru mendapatkan nasihat daripada 2 peguambela kanan di sana, Sidharth Luthra dan Kavin Gulati.

Niru memberikan taklimat ringkas berkenaan kes kepada mereka dan kemudian pasukan guaman India pun dibentuk, yang turut dibantu oleh Rony John serta Avi Tandon.

Pada pandangan saya, ini adalah sebuah pasukan yang cukup hebat dan saya boleh mengesahkan bahawa Dato’ Sri Najib cukup gembira dengan kerja-kerja mereka.

Kami percaya bahawa permohonan kami untuk mengemukakan bukti tambahan yang baru itu mempunyai asas yang kuat dan cukup meyakinkan. Malangnya, Mahkamah Persekutuan tidak berpendapat sedemikian lalu permohonan kami pun ditolak.

Malah permohonan Dato’ Sri Najib untuk diberikan penangguhan singkat bagi membolehkan pasukan perundangan kami untuk membangunkan kes, dan juga untuk memberikan masa secukupnya kepada peguam dalam menyediakan hujahan serta pertikaian beliau, untuk kes yang berprofail tinggi dan kompleks seperti ini, ditolak mentah-mentah oleh mahkamah.

Dalam tempoh empat minggu yang singkat itu, kami telah meneliti segala yang berkaitan rekod rayuan, mengkaji semula afidavit-afidavit yang penting, menjalankan penyelidikan meluas berkaitan perundangan, menyediakan afidavit balas terakhir, dan memfailkan penghujahan bertulis yang lengkap. Itu sahaja sudah merupakan satu tanggungjawab dan tugas yang sangat besar dengan sendirinya, memandangkan tempoh yang diberikan cukup singkat di mana kami perlu bersedia kerana Mahkamah enggan menangguhkan permohonan, apatah lagi rayuan.

Malahan kami telah pun terlebih dahulu menyediakan usul untuk membuat semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan jika permohonan Dato’ Sri Najib untuk mengemukakan bukti tambahan yang baru itu ditolak. Usul tersebut tidak kami failkan.

Kami sudah cukup berpuas hati kerana kami tahu yang kami telah lakukan yang terbaik untuk Dato’ Sri Najib.

Adalah di luar jangkaan saya bahawasanya Mahkamah Tertinggi di negara kita ini akan menafikan hak Dato’ Sri Najib untuk mengemukakan bukti baru yang penting dan perlu untuk memastikan kebenaran benar-benar ditegakkan dan keadilan benar-benar terlaksana. Permohonan tersebut adalah untuk menunjukkan dengan jelas betapa serius konflik kepentingan yang wujud di pihak hakim Nazlan. Pada pandangan saya, hakim Nazlan secara jelas telah berat sebelah. Beliau tidak sepatutnya diberi peranan menghakimi perbicaraan kes SRC International itu. Jelas kelihatan bahawa Dato’ Sri Najib telah berhadapan dengan ketidakadilan yang berpunca daripada perlanggaran amalan perundangan yang nyata, dan kami cukup yakin bahawa semua usaha untuk menuntut hak-hak beliau berdasarkan perlembagaan akan akan terus terhalang.

Kami mengiktiraf dan menerima hakikat bahawa Dato’ Sri Najib berada dalam keadaan yang agak kritikal terutamanya dalam hal garis masa perundangan beliau bagi kes SRC International ini, apatah lagi pada keadaan di mana kebebasan beliau dipertaruhkan, kami menerima keputusan pelepasan khidmat pasukan guaman kami ini dengan hati yang terbuka.

Kami cukup memahami bahawa beliau terpaksa melakukan apa yang terbaik untuk dirinya sendiri.

Saya berdiri teguh dengan pendirian saya sebelum ini, bahawasanya firma kami tidak akan pernah meninggalkan Dato’ Sri Najib atau mana-mana klien kami yang lain. Itu bukan budaya pasukan kami. Walau bagaimanapun, melihat keadaan semasa yang agak luar biasa ini, ia mendorong kami untuk mengutamakan keperluan klien. Kecenderungan klien adalah penting bagi kami. Saya doakan Dato’ Sri Najib yang terbaik. Saya akan sentiasa berada di sini untuk membantu beliau dalam apa jua keadaan, sebagai seorang peguam, dan seorang kawan.

Saya berkesempatan melihat dengan jelas serta mempelajari banyak perkara sepanjang beberapa minggu yang lepas ini. Sebagai contoh, saya tidak tahu yang peguam bagi kes-kes jenayah mesti mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu sebelum mengundur diri daripada mewakili mana-mana klien mereka, yang saya percaya adalah peraturan baru yang agak mengejutkan. Saya juga tidak menghargai prinsip bahawa ‘inflexible & rigidity’ itu sebagai ramuan penting dalam menegakkan keadilan. Sebaliknya saya sentiasa berpendapat bahawa ramuan terpenting dalam menegak keadilan ialah kesaksamaan, kemunasabahan serta belas kasihan, malah ia lebih penting jika dibandingkan dengan kecekapan pentadbiran.

Untuk rekod peribadi, saya berjaya mengenali siapa rakan sebenar saya. Hakim (B) Mahadev Shanker berada di kedudukan tertinggi di antara mereka, dan saya berterima kasih atas kata-kata beliau yang baik untuk saya di sejak akhir-akhir ini.

Tidak pula bagi orang-orang yang mengecam dan merendah-rendahkan karakter saya disebabkan kadangkala saya terlibat dalam perjuangan atau misi yang kurang ataupun tidak popular.

Walau Bagaimanapun, saya akan sentiasa kekal dengan prinsip dan kepercayaan teras saya. Saya akan sentiasa berjuang untuk keadilan, sama ada untuk orang biasa mahupun untuk Raja. Dalam pada berbuat demikian, saya juga akan memastikan bahawa keadilan itu bukan sahaja perlu dilaksanakan, malah perlu juga untuk dilihat sebagai telah dilaksanakan.

Tiada siapa yang boleh menghalang saya dari meneruskan apa yang saya benar-benar percaya dalam hati dan fikiran. Undang-undang telah menjadi minat saya sejak sekian lama, dan membantu orang lain yang memerlukan adalah tanggungjawab saya.

Saya berhasrat untuk sentiasa tenang dan teruskan apa yang saya lakukan.

Datuk Zaid Ibrahim
19 Ogos 2022

BBerkaitan

Latest articles