BN Pergiat Kaedah Hibrid Tangkis Serangan Lawan PRU15

KUALA LUMPUR: Menghampiri PRU-15, lawan Barisan Nasional (BN) dipercayai akan terus berusaha mereka-reka propaganda dan tohmahan baharu di media sosial untuk menanam kebencian dalam jiwa rakyat.

Sehubungan itu jentera BN diingatkan untuk menggunakan pendekatan baharu secara hibrid melibatkan dua komponen gerak kerja iaitu secara fizikal dan maya bagi menangkis serangan pihak lawan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah konvensional seperti perjumpaan secara fizikal dan mengedar risalah BN diteruskan, namun pada masa yang sama, arena media sosial harus dikuasai.

“Seluruh jentera BN perlu bingkas menangkis tohmahan mereka secara berfakta supaya persepsi negatif yang mahu mereka naratifkan dapat diatasi,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Ahmad Zahid, dalam masa yang sama menasihatkan jentera BN agar tidak berkesan dengan cacian pasukan siber lawan mahu melemahkan mentaliti mereka, sebaliknya terus istiqamah kepada fakta dan kebenaran yang ada pada parti.

“Jangan hanya berkongsi fakta dan kebenaran sesama kita, sebaliknya salurkan ia kepada setiap pengundi termasuk pengundi baharu dan pengundi atas pagar.

“Tumpukan penyaluran maklumat terhadap laman media sosial yang menjadi tumpuan masyarakat kerana amat penting maklumat itu sampai ke pengetahuan mereka,” jelasnya.

Beliau yang juga Presiden UMNO mengakui bahawa ketidakmampuan menguasai platform media sosial merupakan antara faktor yang menyebabkan BN tewas pada PRU-14.

Ahmad Zahid menambah, BN gagal memanfaatkan saluran penyampaian maklumat yang cepat dan mudah itu untuk menggamit keyakinan pengundi terhadap BN.

“Sedangkan lawan BN pada waktu itu memanipulasi sepenuhnya platform berkenaan untuk melancarkan propaganda dan tohmahan mereka.

“Maka kita katakan pada mereka ‘no more drama’. Kini, media sosial juga gelanggang BN. Seluruh jentera Wanita, Pemuda dan Puteri BN akan gempur,” katanya.

Beliau menegaskan, kali ini, BN akan melawan habis-habisan demi menyelamatkan rakyat dan negara daripada hasutan dan tohmahan mereka dengan fakta serta realiti.

“Justeru, saya berharap seluruh jentera BN memahami apa yang saya maksudkan dengan pendekatan baharu BN pada Konvensyen Wanita BN,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles