Segera tangani krisis sekuriti makanan – Agong

KUALA LUMPUR: Krisis sekuriti makanan perlu ditangani segera, terutama dalam keadaan dunia menghadapi pelbagai kemelut dan kejutan ketika ini, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka turut menitahkan agar satu pelan jangka panjang dirangka untuk mengukuhkan sekuriti makanan dan menjamin kos sara hidup berada pada tahap bersesuaian.

“Beta berharap kerajaan beta dan pemimpin di setiap lapisan menangani masalah kelangsungan hidup yang membelenggu segelintir rakyat beta, termasuklah kos sara hidup yang tinggi, di samping peningkatan harga komoditi industri serta makanan.

“Nasihat beta, usahlah wujud bibit pertikaian apabila setiap kali negara berhadapan masalah sekuriti makanan dan peningkatan kos sara hidup. Kita semua seharusnya fokus kepada membantu memulih kemaslahatan rakyat.

“Sikap ‘bila sudah merah, kapur salahkan kunyit dan kunyit salahkan kapur’ tidak akan dapat membantu dan membela nasib rakyat beta yang terhimpit dengan pelbagai dugaan,” titah Seri Paduka sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi di Istana Negara, di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah juga menasihati rakyat supaya memainkan peranan dengan menanam sikap berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah serta tidak melakukan pembaziran.

Seri Paduka turut menyanjung tinggi inisiatif pengukuhan perlindungan sosial yang dilaksanakan kerajaan, termasuk program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong menaruh harapan tinggi agar program itu dapat mencapai sasarannya untuk menghapuskan miskin tegar menjelang 2025.

“Pemimpin adalah tidak ubah bagai condong yang akan menongkat, bagai rebah yang akan menegak.

“Pemimpin adalah sandaran kepada harapan rakyat. Kebahagiaan dan kesusahan rakyat adalah cerminan diri yang wajib digalas oleh setiap pemimpin,” titah baginda.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut merakamkan terima kasih kepada seluruh anggota pentadbiran, penjawat awam, anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan yang mencurahkan bakti kepada negara tercinta ini.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah berpesan agar rakyat terus mengamalkan penjagaan kesihatan diri yang tinggi bagi mewujudkan persekitaran kondusif dan selamat.

Seri Paduka juga menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada penerima Darjah Bintang Kebesaran dan Pingat Persekutuan pada tahun ini, serta berharap pengurniaan itu menyuntik semangat baharu untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga negara kita Malaysia dan rakyat yang beta kasihi akan sentiasa berada di bawah perlindungan dan kerahmatan Allah SWT serta aman makmur dan bersatu padu di bawah lindungan-Nya,” titah baginda.

Bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi itu, seramai 1,021 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles