Tun M, Anwar Dan Hadi Makin Hilang Dalam Radar Politik

PUTRAJAYA: Kekalahan pembangkang dalam beberapa siri pilihan raya kecil dan negeri akhirnya menenggelamkan imej pimpinan utamanya, seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Abdul Abdul Hadi Awang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata Dr Mahathir yang bekas perdana menteri semakin menunjukkan kehilangan taring kepimpinannya.

Mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor minggu lalu, Mohd Puad berkata Dr Mahathir hanya mengambil calon mewakili Pejuang sekadar ‘tangkap muat’.

“PRN menunjukkan pengaruh Mahathir paling nyata berada peringkat minimum. Paling ‘significant’ tak ada jentera. Mereka bergantung kepada upah orang untuk naikkan bendera.

“Paling teruk calon-calon tangkap muat. Tak kenal datang dari mana, yang tak ada sumbangan dalam masyarakat,” katanya memetik FMT.

Pada PRN Johor Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meraih kemenangan melebihi majoriti 2/3, berbanding Perikatan Nasional (PN) tiga, Pakatan Harapan (PH) 12 dan MUDA satu kerusi.

Sementara itu, PKR juga menerima tempias yang sama meskipun Anwar meletakkan calon dikenali seperti Dr Maszlee Malik.

Katanya, walaupun Maszlee bertanding atas status bekas Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, beliau juga tidak dapat memenangi kerusi di DUN Layang-Layang.

“Maksudnya rakyat tetap tolak di medan dia sendiri. Saya nampak sokongan Mahathir, Anwar cukup ‘significant’. Sebab kedua-dua parti ini bergantung pada imej individu, iaitu Mahathir dan Anwar,” katanya.

Puad juga melihat sokongan terhadap Hadi semakin merosot.

“Ini kerana PAS sendiri gagal di tiga negeri, iaitu di Sarawak, Melaka dan Johor. Pada saya itu juga petanda berlaku kemerosotan kepada imej Hadi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles