Potong Gaji Sekadar Gimik Murahan Pejuang

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) menempelak tambahan manifesto Pejuang yang kononnya mahu melaksanakan pemotongan gaji Menteri Besar dan barisan exco Johor sekiranya mereka menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.

Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan ia  sebagai gimik murahan, sedangkan i tidak mendatangkan sebarang signifikan untuk membantu rakyat.

Ahli Parlimen Lenggong itu berkata tindakan Pejuang itu hanya akan membuatkan rakyat Johor bertambah muak dan bosan.

“Nak potong gaji MB dan exco? Buat apa potong gaji MB atau exco untuk tabung kebajikan dan pendidikan kerana jumlah wang yang dipotong itu tidak besar mana pun. Dan tidak banyak boleh membantu rakyat.

“Ia lebih kepada gimik politik semata mata kerana itulah rakyat sudah muak, letih dan bosan dengan politik populis sebegini. Ini semua retorik dan tidak ke mana pun,” katanya.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada semalam berkata parti itu akan memotong gaji Menteri Besar Johor sebanyak 20 peratus sekiranya parti itu berjaya membentuk Kerajaan Negeri.

Kononnya ia akan disalurkan ke tabung kebajikan dan pendidikan rakyat negeri Johor.

Begitu juga dengan pemotongan gaji exco negeri yang akan dilantik.

Pejuang juga memasukkan janji bahawa menteri besar yang dilantik hanya akan memegang portfolio Pengurusan Pertanian dan Luar Bandar bagi menjaga kebajikan rakyat berpendapatan rendah.

“Apa yang rakyat mahu ialah idea, agenda serta perancangan yang segar, baik dan besar bagaimana mahu menjadi membela dan menjaga kebajikan dan pendidikan rakyat.

“Sekadar gimik politik begini ianya tidak menyelesaikan masalah rakyat.

“Bacalah dan lihat kandungan Ikhtiar BN Johor. Ini akan BN lakukan,” tambah Shamsul Anuar.

PRN Johor akan berlangsung esok yang menyaksikan 2,574.835 pengundi biasa akan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Seramai 239 calon akan bertanding dengan 223 calon adalah daripada 10 parti politik dan 16 calon Bebas.

BBerkaitan

Latest articles