JOHOR BAHRU: Sebarang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak melibatkan peringkat nasional, justeru itu tiada keperluan untuk stesyen televisyen milik kerajaan menyiarkan sebarang debat di antara calon-calon.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, begitu juga dengan PRN Johor yang hanya melibatkan peringkat negeri.
“Siaran televisyen adalah siaran nasional. Tidak ada siaran tempatan. Kalau radio ada radio tempatan tapi kalau televisyen itu nasional.
“Jadi kita ingin mengekalkan pilihan raya ini sebagai satu pilihan raya negeri bukan pilihan raya nasional. Maka belum ada sebarang rancangan untuk mengadakan debat di televisyen,” kata Annuar memetik laporan Malaysia Gazette.
Tidak di Malaysia, Annuar memberi contoh, debat antara pemimpin politik yang bertanding dalam pilihan raya di televisyen biasanya melibatkan negara yang mengamalkan sistem dua parti seperti Amerika Syarikat.
Debat seperti itu tidak sesuai untuk negara seperti Malaysia yang mempunyai berbelas parti politik dan jumlah calon bertanding yang ramai.
“Kita tengok di Johor banyak betul parti yang bertanding. Ada yang tujuh penjuru, ada yang lima penjuru, ada empat penjuru. Lebih 12 parti politik.
“Jadi nak debat ini antara siapa dengan siapa. Kita tak boleh pilih kasih, pilih dua parti yang besar, yang lain macam mana? Terutama sekali dalam televisyen dia tidak bersifat nasional kerana ini pilihan raya negeri,” kata Annuar.
Namun dalam mendepani pilihan raya umum akan datang, Annuar memaklumkan pihaknya bersedia mempertimbangkan kebenaran untuk berdebat di antara calon.
Sementara itu Annuar berkata, saluran televisyen kerajaan boleh membantu menyebarkan maklumat mengenai calon-calon yang disahkan bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Katanya, Kementerian akan memberi peluang kepada semua calon untuk dikenali oleh pengundi.
“Maka adalah tidak salah bagi media kerajaan, saluran televisyen dan radio memaksimukan ruang untuk memperkenalkan calon, bukan untuk berkempen.
“Kalau berkempen itu tidak bolehlah di media rasmi kerajaan kerana kerajaan itu satu badan yang boleh kita anggapkan sebagai berkecuali. Kita hanya mengendalikan dasar-dasar kerajaan.
“Orang yang hendak bertanding, dia ada dasar-dasar sendiri. Jadi untuk berkempen buat masa ini kita belum mempunyai ruang yang cukup untuk calon yang sebegitu ramai,” kata Annuar.
Katanya dasar tersebut sudah dilaksanakan dalam PRN Melaka dan PRN sarawak.
Sehubungan itu tidak menjadi satu kesukaran kepada semua media kerajaan untuk meneruskan dasar yang sama pada PRN Johor.