KUALA LUMPUR: Usul yang dibawa pembangkang untuk membincangkan kontroversi pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Dewan Rakyat hari ini ditolak bagi memberi laluan kepada isu banjir.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang berlangsung hari ini memberi tumpuan kepada pengurusan bencana banjir, bantuan ketika bencana dan perancangan jangka masa panjang.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengemukakan usul itu kepada Speaker Dewan Rakyat, semalam.
“Hari ini agendanya banjir, bukan berkenaan rasuah. Saya akui terima usul tersebut sehari lepas dan saya sudah menjawab bahawa sidang khas ini dipanggil Perdana Menteri berdasarkan kuasa mutlak Perdana Menteri.
“Oleh sebab itu, saya tidak ada kuasa menentang atau menerima usul berkenaan. Kalau Yang Berhormat Pulai fokus, agenda ini ditetapkan Perdana Menteri.
“Sehingga hari ini, saya tidak mempunyai apa-apa notis dari Perdana Menteri (mengenai agenda lain), maka saya anggap usul itu dianggap tidak akan dimasukkan dalam agenda hari ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) bangun meminta kebenaran Azhar supaya usul yang dikemukakan kelmarin dimasukkan dalam agenda terakhir pada persidangan hari ini.
Beberapa Ahli Parlimen pembangkang iaitu Gobind Singh Deo (PH-Puchong) dan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) kemudiannya bangun meminta perkara sama dibahaskan, namun Azahar kekal dengan keputusan untuk tidak menerima usul berkenaan.
Semalam, Salahuddin memaklumkan sudah menghantar notis usul tergempar kepada Azhar untuk membincangkan isu pemilikan saham Azam.
Dalam surat bertarikh semalam dan dikongsikan di media sosialnya, beliau berkata, perkara itu perlu disegerakan untuk menggesa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah melakukan siasatan lebih lanjut terhadap dakwaan ke atas pegawai tertinggi SPRM itu.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini dimulakan dengan penerangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan situasi bencana banjir melanda negara baru-baru ini.
Ia diikuti dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, yang mengetuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), akan memberikan penerangan mengenai pengurusan bencana banjir, diikuti Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berhubung bantuan banjir.
Sementara Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula akan memberi penerangan berkenaan perancangan jangka panjang dalam mendepani bencana banjir.
Malah mesyuarat hari ini juga tidak akan ditangguh pada jam 1 tengahari untuk rehat dan akan terus berjalan sehingga selesai.