SHAH ALAM: Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata waris kepada mangsa banjir yang meninggal dunia akan menerima wang pengurusan kematian berjumlah RM5,000.
Pemberian wang pengurusan kematian itu merupakan satu daripada Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diumumkan Perdana Menteri pada 20 Disember lalu.
“Antara syarat kelayakan adalah seperti warga Malaysia dan memiliki kad pengenalan diri (MyKad) yang sah; adalah mangsa ketika bencana berlaku; mangsa mendiami atau menduduki rumah persediaan dan wajib mendaftarkan nama dengan maklumat lengkap menggunakan nama ketua isi rumah (KIR).
“Bagi yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), mereka perlu mendaftar dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) atau ketua kampung (KK) masing-masing,” katanya pada sidang media di Taman Sri Muda, hari ini.
Selain itu, menurut Aminuddin, kerajaan juga akan mempercepatkan penyaluran peruntukan kepada kerajaan negeri yang mana proses verifikasi akan dipermudahkan.
Katanya, sebelum ini proses perlu melalui Pejabat Daerah seterusnya ke peringkat negeri dan NADMA.
“Khusus untuk kali ini, kita mempercepatkan yang mana negeri akan memberi anggaran berapa (mangsa banjir) dan di situ kita akan salurkan peruntukan sewajarnya.
“Sejajar dengan arahan Perdana Menteri untuk menyegerakan pengagihan, kerajaan negeri sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) diminta kerjasama untuk berbuat demikian; dan NADMA sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri melalui JPBN dalam mengemaskini data mangsa yang terjejas,” katanya.
Aminuddin berkata, BWI turut memperuntukkan RM1,000 yang akan diberikan kepada semua ketua isi rumah mangsa yang terjejas sama ada berpindah ke PPS atau tidak.