KUALA LUMPUR: Bermula 15 Januari 2022, kesemua transaksi tol akan menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) bagi kenderaan ringan persendirian.
Laluan yang terlibat adalah Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan.
Dengan pelaksanaan itu, seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di Pantai Barat Semenanjung Malaysia akan menyediakan lorong RFID bagi memberi perkhidmatan yang lebih mudah, selamat dan pantas kepada pengguna lebuhraya.
Transaksi tol RFID adalah langkah Kementerian Kerja Raya (KKR) ke arah mengurangkan kesesakan di plaza tol.
“Ia bertepatan dengan keperluan dan kehendak pelanggan lebuh raya serta selari dengan perkembangan teknologi masa kini.
“Pelaksanaan RFID mulai 15 Januari 2022 ini juga selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transport System – ITS Blue Print) yang diterajui oleh KKR termasuklah pelaksanaan Sistem Tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (Multi Lane Free Flow – MLFF),” kata KKR dalam satu kenyataan.
Malah pelanggan juga berpeluang menikmati perjalanan lebih lancar tanpa henti di lorong RFID dengan kelajuan 30km/j.
Selain itu, RFID turut membolehkan pelanggan melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai.
Tag RFID juga boleh diperoleh dengan kos yang rendah dan berpatutan.
Kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih lagi disediakan pada ketika ini namun, kedua-dua kaedah tersebut akan dihentikan secara berperingkat bagi memberi peluang untuk lebih banyak lorong RFID disediakan di lebuh raya sebelum pelaksanaan MLFF.
Pengguna boleh mendapatkan tag RFID secara online menerusi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go atau ejen pemasaran yang dilantik untuk memasangnya sendiri.
Pembelian dan pemasangan tag RFID juga boleh dibuat di 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung Malaysia.
Jumlah pusat jualan dan pemasangan ini akan ditambah bagi membolehkan lebih ramai pengguna mendapatkan tag RFID bagi memudahkan lebih ramai pengguna beralih kepada sistem pembayaran RFID.