UMNO Tak Akan Bekerjasama Dengan Parti Penuh Muslihat

KUALA LUMPUR: Apa jua pendirian UMNO tidak dibuat oleh seorang pemimpin, sebaliknya menerusi suara akar umbi parti.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menegaskan bahawa itulah prinsip dan tatacara parti itu, dan PAS seharusnya tidak boleh sewenang-wenangnya ‘mengarah’ untuk UMNO bertindak mengikut citarasa mereka.

Mengulas lanjut, Mohd Johan Rizal mengingatkan PAS bahawa asas penubuhan BERSATU itu sendiri adalah untuk menggantikan UMNO melalui muslihat ‘Scheme of Things‘ ciptaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Maka, sebab itulah parti itu dipenuhi dengan pelbagai rupa ‘katak politik’ berkepentingan. Mana mungkin UMNO boleh menerima kerjasama sebuah parti yang penuh muslihat sebegini,” ujarnya.

Reaksi itu diberikan Mohd Johan Rizal terhadap kenyataan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang menyeru UMNO supaya belajar menerima BERSATU dan tidak sepatutnya menggunakan alasan menolak parti itu kerana pernah berada dalam Pakatan Harapan (PH).

Justeru, tegas Mohd Johan Rizal, selaku Ketua Pemuda PAS, Pemuda UMNO berharap beliau menghormati pendirian UMNO yang merupakan sebahagian daripada gagasan Muafakat Nasional (MN) yang disepakati.

“Tidak perlulah PAS cuba mengajar atau banyak berhikayat, kononnya bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam Perikatan Nasional (PN), kalau akhirnya ternampak seperti budak suruhan BERSATU.

“MN digagaskan bagi menahan dan memperjuangkan kepentingan umat yang sebelumnya diracik-racik oleh Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

“Malah jika saudara terlupa, watak dan teraju utama tonggaknya adalah datang dari PPBM sendiri,” katanya.

Lebih lanjut, menurut Mohd Johan Rizal, sejarah merekodkan ianya disusuli muslihat dan pengkhianatan berlaku dari kalangan BERSATU yang berebut jawatan Perdana Menteri meruntuhkan kerjasama PH.

“Saudara juga mungkin terlupa, MN bukan hanya kolisi dan kerjasama politik semata dan demi kepentingan bersama ianya dipersetujui untuk tidak didaftarkan dan tidak mengikat.

“Maka atas kepentingan itu jugalah Barisan Nasional (BN) dan PAS yang membentuk MN berjiwa besar, demi ummah dan demi negara bersetuju membentuk kerajaan sementara bersama PPBM sebagai terajunya walaupun mereka hanya tinggal bersisa,” katanya.

Ujar beliau, sewajarnya MN perlu diangkat dengan idealisme lebih besar sebagai ‘etos’ hala tuju baru pedoman dan kepercayaan seluruh kepelbagaian rakyat untuk satu matlamat, iaitu melihat Malaysia kembali berjaya.

Katanya, PAS tidak sepatutnya mengorbankan perjuangan MN demi survival BERSATU dengan menyalahkan UMNO.

BBerkaitan

Latest articles