Kerajaan Peruntuk RM73.6 Juta Bantu Penjaja, Peniaga Kecil

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM73.6 juta kepada para penjaja dan peniaga kecil, dalam usaha menjaga kebajikan golongan tersebut, lebih-lebih lagi ketika musim pandemik ini.

Sebanyak RM25 juta daripadanya disalur untuk pelaksanaan Transformasi Pasar Malam secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh negara mulai tahun depan.

Manakala RM48.52 juta lagi bagi Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil dan tambahan sebanyak RM100,000 lagi diberikan untuk Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM).

Ismail Sabri, ketika berucapa pada Majlis Sambutan Hari Penaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (HPPK) dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam, semalam berkata, kerajaan sentiasa komited dalam soal menjaga kebajikan rakyat.

Langkah itu katanya, adalah untuk memastikan tidak ada yang tertinggal dalam mengecapi nikmat kemakmuran negara termasuk golongan penjaja dan peniaga kecil.

Ujarnya, Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) menerusi TEKUN Nasional menawarkan bantuan pembiayaan kepada golongan sektor informal di bawah program Pakej Niaga SPIN 2.0 pada Ogos lalu.

“Objektif program ini adalah untuk membantu usahawan yang baru memulakan perniagaan tanpa daftar perniagaan atau lesen perniagaan.

“Antara kelebihan program ini adalah tidak memerlukan pendaftaran dan akaun SSM, menawarkan pakej niaga sehingga RM5,000 produk yang menarik dan margin keuntungan yang tinggi selain khidmat sokongan serta latihan jualan disediakan,” katanya.

Malah, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang juga agensi baharu di bawah MEDAC yang memfokuskan tentang usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan isi rumah di Malaysia. Sehingga kini ia telah memanfaatkan 349,410 ahlinya atau pun Sahabat AIM.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat iaitu agensi di bawah MEDAC bagi menambahbaik dan membangunkan semula perniagaan sedia ada.

Ujarnya, pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan/perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa, bil utiliti dan lain-lain.

“Tiada sebarang kadar keuntungan dikenakan ke atas penerima biaya sebaliknya hanya kos pengurusan akan dikenakan sebanyak satu peratus atas kutipan yang diterima.

“Nilai pembiayaan adalah antara RM10, 000 hingga RM50, 000 dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun. Jadi saya menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles