Individu tawar 2 juta dos vaksin bukan Pengarah Urusan syarikat

GEORGETOWN: Siasatan awal polis mendapati penulis surat yang menawarkan sebanyak dua juta dos vaksin Covid-19 kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bukan Pengarah Urusan syarikat swasta terlibat seperti yang dinyatakan di dalam surat berkenaan.

Sebaliknya jelas Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan, penulis surat berkenaan adalah wakil kepada syarikat itu, Xintai Development Enterprise Ltd. dan hanya dilantik secara lisan.

Tambah beliau, penulis surat berkenaan juga mengesahkan tandatangan pada surat yang dihantar ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang adalah miliknya lapor portal Utusan.

Bagaimanapun jelasnya, siasatan kes itu masih di peringkat awal yang mana beberapa tindakan perlu diambil termasuk merakam percakapan saksi-saksi daripada pihak syarikat yang berkaitan serta daripada Pejabat Program Imunisasi COVID- 19 Kebangsaan (PICK) dan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Tindakan untuk menghubungi syarikat yang berkaitan juga perlu diambil untuk mengesahkan status pendaftaran syarikat berkenaan serta peranan penulis surat tersebut.

“Modus operandi kes ini adalah suspek yang merupakan wakil syarikat Xintai Development Enterprise Ltd. dipercayai cuba untuk menipu Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menawarkan dua juta dos vaksin jenis Sinovac yang dipercayai tidak wujud,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kontroversi mengenai sumbangan dua juta dos vaksin jenis Sinovac kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu bermula selepas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang akhbar mempersoalkan mengapa Kementerian Kesihatan tidak meluluskan derma vaksin tersebut kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin yang mendedahkan tawaran derma oleh syarikat yang berpangkalan di Hong Kong itu adalah palsu manakala syarikat swasta tersebut juga tidak wujud.

Sementara itu Sahabudin berkata, polis sehingga kini menerima sebanyak enam laporan berhubung isu tersebut yang dibuat beberapa individu mewakili parti politik termasuk daripada Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ekoran itu tambah beliau, siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang di bawah seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang untuk nasihat dan pandangan setelah semua tindakan siasatan selesai diambil,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles