RM300 juta kredit e-tunai untuk 2 juta belia, pelajar IPT sambut baik bantuan kerajaan

Pelajar sepenuh masa di institusi pendidikan tinggi (IPT) menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan bantuan program eBelia, iaitu kredit e-tunai bernilai RM150 bakal disalurkan bermula 1 Jun ini kepada dua juta belia yang layak.

Timbalan presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Anasofea Md Ridzwan berkata, kebanyakan pelajar berdepan dengan masalah kewangan terutama ketika pandemik, maka segala bantuan yang diberi akan digunakan sebaik mungkin.

“Untuk meneruskan pembelajaran dalam talian, kami perlukan peralatan digital, data internet dan kewangan untuk akses akademik lain seperti bahan pembacaan dan sebagainya.

“Perkara ini akan menjadi tekanan kepada golongan pelajar yang tidak mempunyai peranti yang lengkap dan kewangan yang cukup, ia menghalang mereka untuk meneruskan pembelajaran secara sempurna,” katanya seperti yang dilaporkan FMT.

Pelajar Politeknik Ungku Omar, Muhammad Shukri Azmi pula berkata, beliau menyambut baik inisiatif kerajaan menyalurkan bantuan menggunakan saluran kredit e-tunai kerana ia lebih mudah, cepat dan selamat.

“Saya sangat setuju kerajaan kerajaan guna e-tunai untuk menyalurkan bantuan. Cara ini lebih mudah, cepat dan selamat, terutama sekali ketika Covid-19 ini kita kena kurangkan penggunaan wang kertas untuk elak risiko jangkitan,” ujarnya.

Selain itu Shukri berharap inisiatif ini boleh diteruskan bagi membantu golongan belia, khususnya yang lebih memerlukan sokongan kewangan.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, peruntukan sebanyak RM300 juta disalurkan bagi meringankan beban kewangan golongan sasar, selain menggalakkan perbelanjaan secara tanpa tunai dalam kalangan belia dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berdaftar.

Dalam Belanjawan 2021, sejumlah RM200 juta diperuntukkan bagi menyalurkan RM100 kredit e-tunai bagi setiap belia yang layak, kata kementerian berkenaan.

“Kerajaan telah menambahbaik inisiatif ini dengan peruntukan tambahan RM100 juta di bawah program PEMERKASA (Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi) yang diumumkan Mac lalu, menjadikan keseluruhan peruntukan bagi program ini sebanyak RM300 juta.

“Dengan faedah tambahan ini, setiap penerima layak mendapat nilai kredit berjumlah RM150, berbanding RM100 sebelum ini,” katanya.

Program eBelia akan ditawarkan melalui empat penyedia perkhidmatan e-tunai, iaitu BigPay, Boost, ShopeePay and Touch ‘n Go eWallet, yang secara keseluruhan mempunyai 30 juta pengguna aktif dan jaringan lebih 1 juta peniaga di dalam dan luar talian.

Setiap pemohon yang layak boleh menuntut RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-tunai ini, yang akan disertakan dengan insentif tambahan dalam bentuk “cash back”, baucar, mata terkumpul atau “coins” oleh penyedia perkhidmatan e-tunai yang dipilih sepanjang tempoh kempen.

MoF turut memaklumkan, inisiatif eBelia itu dibuka kepada warganegara berumur 18 hingga 20 tahun pada 2021 atau lahir pada 2001 hingga 2003.

Selain itu, pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau SKM 4 (Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4) dan ke atas di IPT tempatan berdaftar juga layak menuntut kredit e-tunai berkenaan.

“Data pemohon akan disemak silang dengan IPT tempatan yang berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkaitan.

Tempoh tuntutan kredit tersebut adalah dari 1 Jun hingga 22 Julai 2021 dan kredit itu boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai 2021.

Susulan itu, mereka yang layak digalakkan untuk mengemas kini akaun di aplikasi e-tunai masing-masing atau memuat turun aplikasi e-tunai tersebut sebelum 1 Jun 2021.

Inisiatif eBelia adalah program kerjasama antara MoF, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) .

BBerkaitan

Latest articles