Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa memantau kejadian darah beku semasa pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 AstraZeneca dan memberi jaminan rawatan segera akan diberikan jika kes tersebut benar-benar berlaku, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
“Kejadian darah beku sangat jarang berlaku dan pemberian vaksin ini telah mengambil kira faedahnya dalam mencegah jangkitan Covid-19 yang mengatasi risiko daripada pengambilan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Malaysia telah menerima 268,800 dos vaksin Covid-19 AstraZeneca melalui Fasiliti Covax pada 24 April lepas dan vaksin berkenaan akan mula diberikan kepada orang ramai pada Rabu (esok).
Pemberian vaksin AstraZeneca dibuka kepada 268,000 individu secara ‘siapa cepat, dia dapat’ bagi penduduk Kuala Lumpur dan Selangor dan temu janji pertama bagi slot vaksinasi akan dijalankan esok di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan.
PPV itu adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.
Dr Adham berkata, penerima vaksin AstraZeneca dinasihatkan untuk sentiasa memantau tahap kesihatan dan perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala dalam masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksin.
Beliau berkata, rawatan segera perlu diperoleh sekiranya mempunyai gejala seperti sakit kepala yang teruk serta tidak berkurangan dengan ubat tahan sakit atau pun ia semakin teruk, dan sakit kepala semakin teruk apabila berbaring atau semasa membongkok.
Gejala lain adalah sakit kepala luar biasa disertai dengan pandangan kabur, loya dan muntah, sukar bertutur, lemah, mengantuk atau sawan, bintik-bintik kecil pada kulit, lebam atau berlaku pendarahan dan sukar bernafas, sakit dada, bengkak pada kaki atau sakit perut yang berterusan, katanya.
Dr Adham berkata, pengamal perubatan yang merawat kes melibatkan penerima vaksin AstraZeneca perlulah menyiasat sama ada individu tersebut telah menerima vaksin dalam masa 30 hari sebelum gejala bermula.
Pengamal perubatan juga perlu membuat pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan sama ada gejala yang ditunjukkan adalah disebabkan pembekuan darah.
“Pemeriksaan-pemeriksaan berkaitan termasuk pemeriksaan darah dan radiologi perlu dijalankan dengan seberapa segera. Rawatan serta-merta perlu diberikan jika keputusan ujian menunjukkan pembekuan darah benar-benar berlaku,” katanya.
Pakar hematologi perlu dihubungi dengan segera untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pengamal perubatan juga perlu membuat laporan Kesan Sampingan Selepas Imunisasi (AEFI) kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), katanya. – Bernama