Susulan kekecohan yang berlaku di Konvensyen Biasa DAP Perak ke-19 di Pusat Konvensyen Ipoh, semalam, polis memaklumkan telah membuka siasatan berkaitan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan adalah bagi mengumpul semua bukti berkaitan penganjuran serta kesalahan perlanggaran SOP.
Bagaimanapun katanya, tidak ada kesalahan berhubung tindakan penganjur tidak memohon permit mahupun membuat pemakluman awal mengenai acara itu kepada polis, memandangkan acara itu dilakukan secara tertutup.
“Kita mengesahkan insiden kekecohan berlaku antara segelintir perwakilan di konvensyen itu, namun ia hanya membabitkan pertengkaran mulut selain keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.
“Siasatan dibuka berdasarkan laporan polis yang diterima dari Balai Polis Sungai Senam berkaitan kesalahan dari sudut pelanggaran SOP PKPB semasa kekecohan berlaku,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran program terbabit adalah dibenarkan mengikut SOP PKPB dengan kapasiti kehadiran adalah tidak melebihi 50 peratus daripada keluasan dewan.
“Konvensyen itu acara tertutup dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dimaklumkan (awal) mengenai program itu. Bagaimanapun pemantauan polis mendapati jumlah kehadiran dan kapasiti dewan mematuhi SOP,” katanya.
Semalam, media melaporkan berlaku sedikit kekecohan sewaktu konvensyen yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan itu.