Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meluahkan rasa syukurnya dengan tempoh setahun pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kejayaan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang penuh kepincangan sebelum ini.
Menyifatkan kemenangan PH pada PRU14 pada tahun 2018 sebagai sangat rapuh, Abdul Hadi seterusnya berkata kemenangan itu disebabkan rakyat tertipu dengan manifesto dan janji yang dikemukakan PH bagai permohonan Puteri Gunung Ledang dalam cerita dongeng Melayu yang mudah dilupakan.
Namun, katanya, PH tidak salah menjanjikan sedemikian rupa kerana itu semua bukan kitab suci.
“Kalau kita suci sekalipun boleh disanggah, apatah lagi manifesto dan janji hendak menurunkan harga minyak dalam tempoh kurang 24 jam, menghapuskan tol dan banyak lagi.
“Malah beberapa peristiwa perundangan berlaku, antaranya seperti usaha untuk membebaskan pemimpin tertentu laksana lampu Aladdin yang memanggil jin untuk dilakukan dengan cepat.
“Lebih parah ketika itu, PH berani membuat kenyataan mencabar kedudukan Islam, Raja-raja Melayu, hak istimewa bumiputera dan beberapa asas dalam Perlembagaan yang lain. Semuanya berlaku sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke Putrajaya,” katanya menerusi Minda Presiden yang dimuatnaik menerusi Facebooknya, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata rakyat pda hari ini sudah nampak kegelojohan PH dalam menentukan kerusi siapa akan menjadi Perdana Menteri yang diumpamakannya laksana berebut pusaka ketika si ayah masih hidup segar dan masing-masing menunjukkan penumbuk sesama sendiri selepas beberapa hari pilihan raya berlalu.
“Sehingga mereka yang bersama dalam PH mula menyedari, sudah tiada harapan lagi, yang tinggal hanya harapan pada namanya sahaja.
“Kedudukan pakatan politik mereka rapuh, laksana sudah mahu bercerai dan bersedia membahagikan perabot rumah dan membahagi-bahagikan anak pinak.
“Bahkan, sekarang pun mereka sedang berebut anak pinak antara AMANAH dan PKR apabila slogan amanahnya berkecai, keadilannya terpilih,” katanya.
Berbeza dengan PAS yang sudah biasa menjadi pembangkang, Abdul Hadi menempelak penerimaan parti-parti komponen di dalam PH yang baru belajar politik setahun jagung.
“Inilah barangkali menyebabkan mereka hanya baru menyedari dan nampak Langkah Sheraton yang sangat pendek.
“Perubahan kerajaan PH kepada kerajaan PN dilakukan secara demokratik dan mengikut proses Perlembagaan Persekutuan dengan langkah paling tepat, tanpa menebuk atap dan masuk dari pintu belakang.
“Ramai pemerhati luar negara sangat kagum dengan pertukaran kerajaan tanpa ada setitik darah pun yang tumpah, tanpa demonstrasi Bersih yang mempunyai niat tidak bersih, tanpa berlaku pergaduhan dengan polis dan tentera, dan tanpa mengganggu pegawai kerajaan yang sedang bertugas,” ujarnya.
Apa yang perlu dilakukan PN ketika ini ujarnya adalah usaha untuk membersihkan peninggalan yang dilakukan oleh PH dalam beberapa tahun apabila mereka membuat pelbagai kecamuk sewaktu era pemerintahan yang pendek.